Kejayaan tewaskan Sabah petanda positif buat KL City

Pemain Kuala Lumpur City FC Paulo Josue ketika beraksi menentang pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super. - Foto Bernama
Pemain Kuala Lumpur City FC Paulo Josue ketika beraksi menentang pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA Lumpur (KL) City FC mula mendapat momentum dalam saingan Liga Super musim ini selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas Sabah di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Pengendali KL City FC, Bojan Hodak berkata, pemainnya dituntut untuk mengekalkan momentum kemenangan tersebut dalam perlawanan akan datang.

Menurutnya, lawan dalam perlawanan akan datang tidak sesukar ketika beberapa perlawanan awal kerana KL City sudah menentang pasukan kuat seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu, Sabah dan Selangor untuk pusingan pertama liga.

"Sudah tentu tekanan sudah berkurangan selepas berjaya meraih kemenangan pertama ini dan pemain boleh fokus untuk perlawanan seterusnya.

"Kami juga sudah menentang semua pasukan yang kuat seperti JDT, Sabah, Selangor dan Terengganu. Selepas ini, kami akan berdepan dengan pasukan di kedudukan bawah liga. Jadi kami perlu optimistik untuk perlawanan seterusnya," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, KL City membuka tirai jaringan menerusi T Saravanan pada minit ke-15 selepas menyempurnakan hantaran jauh Sebastian Avanzini.

Pemain gantian, Sean Giannelli memastikan kemenangan buat KL City meledak gol kedua di penghujung permainan.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Bojan percaya para pemainnya tidak melakukan kesilapan selain berjaya mencipta banyak peluang jaringan.

"Kemenangan pertama memang sentiasa sukar. Kami tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Hari ini kami bermain dengan baik tanpa kesilapan,"katanya.

KL City dijadualkan menentang Perak FC dalam aksi Liga Super seterusnya pada Isnin.