Hameed fokus selesai isu trafik sesak di bandar Melaka

Strategi pelan jangka pendek akan dirangka bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di bandar Melaka.
Strategi pelan jangka pendek akan dirangka bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di bandar Melaka.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri Melaka akan memastikan masalah kesesakan trafik terutama pada waktu puncak di kawasan bandar raya ini dapat dikurangkan dan seterusnya diselesaikan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, bagi memastikan masalah itu tidak berlanjutan memandangkan tahun 2024 adalah Tahun Melawat Melaka, beberapa strategi pelan jangka pendek akan dirangka.

Menurutnya, ia sekali gus dapat menghentikan sindiran orang ramai mengenai negeri itu yang sering dianggap sebagai 'Melaka darul jam'.

"Pelbagai kaedah telah dijalankan kerajaan negeri sebelum ini, tetapi tidak mencukupi terutama pada hujung minggu.

"Jadi kita akan rancang beberapa laluan lalu lintas yang akan diubah, mungkin pada waktu puncak kita tetapkan laluan-laluan tertentu menjadi sehala," katanya.

Hameed (enam dari kiri) bersama sebahagian penerima selepas Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tabung Haji Peringkat DUN Ayer Limau pada Khamis.
Hameed (enam dari kiri) bersama sebahagian penerima selepas Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tabung Haji Peringkat DUN Ayer Limau pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tabung Haji Peringkat DUN Ayer Limau di sini, pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau berkata, sebagai Exco baharu yang memegang portfolio itu, isu kesesakan merupakan cabaran besar untuk beliau menyelesaikan termasuk sama ada pelan pembinaan jalan baharu, laluan bertingkat atau kaedah lain.

"Kesesakan trafik pada hujung minggu juga sebenarnya begitu dipandang serius Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

"Saya akan segera mendapatkan laporan terperinci daripada jabatan-jabatan berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi merealisasikan usaha itu," katanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Hameed antara tiga muka baharu daripada 10 barisan Exco di bawah pentadbiran Ab Rauf.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diadakan di Balai Istiadat Dewan Seri Negeri di sini, pada Rabu.