Penganggur ditahan bersama dadah bernilai RM227,914

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang penganggur ditahan kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM227,914 di sebuah rumah di Jelutong di sini pada 3 April lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penagih dadah tegar itu ditahan ketika sedang berada di atas motosikal di tempat parkir sebuah apartment di Air Itam pada jam 12.30 tengah hari, dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggannya.

Menurutnya, pemeriksaan pada badan suspek berusia 52 tahun itu menemui 100 keping aluminium foil mengandungi 1,000 biji pil eramin 5 seberat 280 gram bernilai RM8,000.

"Susulan daripada serbuan pertama, kita menyerbu sebuah rumah di Jelutong dan merampas pelbagai jenis dadah antaranya 87 peket syabu seberat 4,502 gram bernilai RM148,566, sembilan peket heroin (982 gram) bernilai RM4,075 dan 85 keping aluminium foil mengandungi 850 biji eramin (238 gram) bernilai RM6,800.

"Selain itu, kita turut merampas lapan peket ganja, 37 batang rokok mengandungi ganja (43.3 gram) bernilai RM1,948, 1,400 biji pil ekstasi (659 gram) bernilai RM30,800, 800 bil pil WY (80 gram) bernilai RM8,800, 29 peket plastik serbuk MDMA (1,317 gram) bernilai RM5,800 dan 100 peket ketamin (87.5 gram) bernilai RM13,125," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Beliau berkata, suspek mempunyai 13 rekod jenayah melibatkan dadah sejak 2014 yang mana kali terakhir ditahan adalah pada 2019 di bawah Akta Dadah Berbahaya Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 di Batu Gajah, Perak.

"Setakat ini, suspek didapati bergerak sendirian namun siasatan masih dijalankan sama ada dia mempunyai ahli sindiket lain atau tidak. Kita juga sedang menyiasat dari mana suspek mendapat bekalan susulan dadah yang dirampas daripadanya terdiri daripada pelbagai jenis.

"Suspek bergiat aktif sejak awal tahun ini. Semua dadah ini adalah untuk pasaran tempatan. Sasaran lokasi penjualan adalah di kelab-kelab malam dan kepada penagih tegar, mengikut jenis dadah," katanya.

Mohd Shuhaily menambah, ujian saringan air kencing suspek yang berasal dari Air Itam di sini positif methamphetamine.

"Kesemua dadah yang dirampas, sekiranya terlepas ke pasaran boleh dibekalkan kepada 31,060 penagih. Selain dadah, kita turut menyita sebuah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai.

"Jumlah nilai keseluruhan sitaan dan dadah yang dirampas adalah RM267,424. Suspek direman sehingga 9 April mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 246 permohonan menjual bunga api telah diluluskan di Pulau Pinang setakat ini.

"Daripada jumlah itu, 61 di daerah Seberang Perai Tengah, 45 di Timur Laut, 28 di Barat Daya, 12 di Seberang Perai Selatan dan 100 di Seberang Perai Utara," katanya.