Referendum Perlembagaan Uzbekistan bakal lakar sejarah

Dari kiri: Hussamuddin dan Ravshan berbincang mengenai Uzbekistan ketika mengadakan lawatan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Dari kiri: Hussamuddin dan Ravshan berbincang mengenai Uzbekistan ketika mengadakan lawatan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Uzbekistan bakal mencatat sejarah dalam pentadbiran negaranya sekiranya perubahan perlembagaan yang diusulkan berjaya mendapat sokongan majoriti rakyat melalui referendum kebangsaan yang diadakan pada pada 30 April ini.

Perlembagaan yang diperbaharui tersebut adalah bagi mengukuhkan lagi Parlimen Uzbekistan (Oliy Majlis) selain mengambil kira kepentingan semua penduduknya.

Pembaharuan tersebut turut akan mengekalkan kuasa pemerintahan Presidennya, Shavkat Mirziyoyev selama lebih sedekad akan datang.

Selain itu, perlembagaan baharu yang mana bilangan artikelnya meningkat daripada 128 kepada 155 itu membolehkan generasi akan datang menggunakan keputusan, hak dan kebebasan yang telah dicapai melalui undi sokongan 134 daripada 137 ahli Parlimen dengan selamat.

Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov berkata, ia adalah acara politik yang sangat penting bagi negaranya memandangkan melalui cadangan pembaharuan, perlembagaan itu akan melindungi hak asasi manusia, nilai demokrasi yang adil dan terbuka, dan kesaksamaan dalam populasi pelbagai agama dan etnik.

Jelasnya, pindaan perlembagaan itu direka juga bagi memupuk prinsip kedaulatan undang-undang, perwakilan demokratik, pengasingan kuasa, dan memperkukuh masyarakat sivil.

Menurut beliau, pembaharuan turut menyokong pembangunan ekonomi dalam persekitaran pelaburan dan keusahawanan yang selamat dan mewujudkan kepentingan perlindungan alam sekitar.

"Pindaan perlembagaan ini mewakili transformasi Uzbekistan baharu, menjamin sebuah negara demokrasi moden yang mengutamakan hak dan kebebasan individu setiap orang. Di mana, dahulu negara didahulukan, kini rakyat didahulukan.

“Ia satu peralihan yang mendalam. Kami percaya bahawa setiap rakyat Uzbekistan akan dapat berkata dengan bangga dan yakin, ‘Ini perlembagaan saya.’ Untuk itu, dalam rangka perbincangan nasional, lebih 220,000 cadangan telah diterima. Satu perempat daripadanya ditunjukkan dalam rang undang-undang.

“Atas saranan rakyat, satu norma telah ditetapkan mengikut negara mana yang memastikan pembangunan sistem pendidikan berterusan terdiri daripada pelbagai jenis dan bentuk, termasuk organisasi pendidikan negeri dan bukan negeri,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Ravshan (tengah) diberikan penerangan berkaitan jualan buku Karangkraf.
Ravshan (tengah) diberikan penerangan berkaitan jualan buku Karangkraf.

Tambah Ravshan, Kedutaan Uzbekistan akan berfungsi sebagai pusat mengundi bagi masyarakat Uzbekistan di Malaysia.

Sebelum ini, Ravshan telah mengadakan lawatan di Kumpulan Media Karangkraf yang turut dihadiri oleh Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Penasihat bersama, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.