'Sepatutnya ada tindakan tegas terhadap Ifedayo' - Kepda

Ifedayo dilihat sengaja menendang kaki Rizal ketika saingan Liga Super antara KDA FC dan PDRM FC pada Sabtu lalu. Gambar bawah: Rizal (kiri) berang dengan tindakan Ifedayo yang menendang kakinya sebelum dileraikan oleh pemain lain.
Ifedayo dilihat sengaja menendang kaki Rizal ketika saingan Liga Super antara KDA FC dan PDRM FC pada Sabtu lalu. Gambar bawah: Rizal (kiri) berang dengan tindakan Ifedayo yang menendang kakinya sebelum dileraikan oleh pemain lain.
A
A
A

KELAB Penyokong Kedah Darul Aman (Kepda) mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pengadil memandang serius insiden penyerang PDRM FC, Ifedayo Olesegun yang sengaja menendang kaki pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rizal Ghazali ketika saingan Liga Super pada Sabtu lalu.

Pengerusinya, Nor Hasmadi Hamzah berkata, video insiden pada perlawanan pertama Liga Super 2024/2025 yang tular itu mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Sang Kenari.

Menurutnya, sebagai seorang pemain profesional, Ifedayo yang juga bekas pemain KDA FC tidak seharusnya melakukan perbuatan berkenaan atas semangat kesukanan.

"Teknologi video bantuan pengadil (VAR) kami anggap tidak begitu membantu dalam perlawanan ini kerana kejadian sebegini boleh terlepas pandang.

"Seharusnya ada tindakan tegas kerana insiden sebegini boleh sahaja meleret dan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain sehingga boleh bertindak luar kawalan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Video tersebut memaparkan penyerang dari Nigeria itu menendang kaki Rizal, sebelum bekas pemain Harimau Malaysia itu kelihatan berang dengan tindakan berkenaan.

Pemain lain pantas untuk meleraikannya bagi mengelakkan pertelingkahan lebih teruk berlaku dalam kejadian berkenaan namun pengadil dilihat tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Ifedayo

Jelas Nor Hasmadi, pihaknya berharap semua pengadil akan lebih sensitif pada perlawanan akan datang bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan tersebut, KDA FC berjaya menewaskan PDRM FC, 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hasil jaringan Syafiq Ahmad seawal minit pertama permainan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!