Tiada mogok doktor kontrak di hari terakhir

Tiada sebarang aktiviti berkaitan mogok doktor kontrak pada hari terakhir dilakukan di HRPB Ipoh.
Tiada sebarang aktiviti berkaitan mogok doktor kontrak pada hari terakhir dilakukan di HRPB Ipoh.
A
A
A

IPOH - Tiada sebarang aktiviti berkaitan mogok doktor kontrak dijalankan pada hari terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Rabu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati operasi perkhidmatan kesihatan kepada pesakit masih berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Difahamkan, doktor-doktor kontrak meneruskan tugas seperti biasa dan tiada yang mengambil cuti sebagai tanda protes menyokong mogok yang dianjurkan di seluruh negara itu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, tiada sebarang maklumat diterima berhubung penganjuran mogok di 14 hospital seluruh negeri sejak Isnin lalu.

"Maklum balas yang diterima daripada CPO (Ketua Polis Perak) menyatakan tiada mana-mana doktor yang berkumpul di pekarangan hospital setakat ini.

"Pesakit-pesakit yang hadir mendapatkan rawatan seperti biasa. Perkhidmatan kesihatan merupakan satu keperluan yang tidak boleh dibuat main jadi, saya minta polis siasat dalang yang mahu lakukan mogok ini," katanya.

Beliau mengulas mengenai perkembangan mogok doktor kontrak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Sivanesan berkata, doktor lantikan kontrak perlu bersabar berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah beri jaminan untuk menyerap mereka ke jawatan tetap dalam tempoh tiga tahun.

"Tahun ini 1,500 doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap dan sehingga tahun 2025, kesemua doktor kontrak akan diserap ke jawatan tetap.

"Saya bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada doktor kontrak yang tidak menyertai mogok ini sekali gus mengelakkan mereka dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin melaporkan bahawa ribuan doktor kontrak dijangka mengadakan mogok kerana tidak berpuas hati tuntutan mereka tidak dilayan meskipun kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu tersebut.

Sebelum ini, kumpulan doktor kontrak telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah merancang mengadakan mogok selama tiga hari bermula Isnin sehingga Rabu kerana membantah dasar pelantikan pegawai perubatan kontrak yang dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu.