Perak FC buat bantahan rasmi mutu pengadilan

Teong Kim
Teong Kim
A
A
A

PERAK FC akan mempertimbangkan bantahan rasmi terhadap beberapa keputusan pengadil ketika perlawanan di antara pasukan itu dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Selasa.

Ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim bagaimana pun enggan mengulas lanjut mengenai kelemahan pengadilan perlawanan berkenaan kerana bimbang dikenakan tindakan denda atau digantung.

Jelasnya, pada perlawanan berkenaan, kekasaran yang dilakukan pihak lawan menyebabkan Perak FC kehilangan tonggak utama akibat kecederaan termasuk penyerang, Seo Seonung.

"Kalau saya beritahu dengan jujur (tentang mutu pengadilan) tentu saya akan digantung. Lebih baik saya tak cakap dengan jujur.



"Kita nak perlawanan yang adil itu sahaja. Kamu suruh saya terima begini sebagai jurulatih? Nanti kalau kita kata macam-macam mereka denda saya.

"Kita perlukan orang yang betul-betul buat sesuatu supaya dua-dua pihak dapat keadilan. Itu sahaja permintaan kami. Sekarang Seo (Seonung) cedera. Kecederaan dialami sangat teruk dan kita mungkin akan kemukakan bantahan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC menentang JDT di Stadium Perak di sini pada Selasa.

Mengenai kekalahan besar 5-0, Teong Kim menganggap kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya menyebabkan keputusan itu selain mengakui JDT bukan lawan mudah.

Katanya, semua pemain sudah maklum mengenai kekuatan JDT dan mereka juga sudah tahu bagaimana strategi perlawanan namun apa yang berlaku sebaliknya.

Beliau menambah gol-gol JDT kecuali sepakan percuma memang menerusi gerakan-gerakan mudah yang sepatutnya dikawal baik sekaligus mengelak dibolosi dengan jumlah yang besar.

Sementara itu, pengendali JDT, Esteban Solari enggan mendabik dada di sebalik kemenangan besar berterusan yang diperoleh dalam saingan Liga Super ketika ini.

"Kita sangat puas hati dengan keputusan hari ini walaupun bukan mudah dari mula. Kita menjaringkan lima gol ia satu prestasi yang baik. Pada saya setiap perlawanan merupakan satu cabaran untuk kita perbaiki kelemahan dan memberikan pemain konsentrasi.

"Kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut sesuatu yang membanggakan tetapi perjalanan masih jauh dan kita kena terus merendah diri, terus bekerja keras dan memperbaiki kelemahan serta buktikan bahawa setiap perlawanan lebih baik daripada perlawanan sebelumnya," katanya.