Polis rekod keterangan anggota, pelancong China

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan seorang anggota pasukan itu dan seorang pelancong warga China bagi membantu siasatan berkaitan video tular dakwaan peras ugut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah merakam keterangan kedua-dua pihak pada Selasa.

"Kita telah selesai merakam keterangan kedua-dua individu itu, selepas kertas siasatan lengkap, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berkaitan video tular berdurasi satu minit 48 saat yang memaparkan seorang individu mendakwa telah diperas ugut oleh anggota polis kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Video itu memaparkan seorang anggota polis memakai uniform sedang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang individu dengan berlatar belakang papan tanda Memorial Tunku Abdul Rahman di Bulatan Dato' Onn.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.