Empat lelaki dicekup miliki dadah

Dadah yang dirampas daripada seorang suspek di Kampung Bagan Dalam, semalam.
Dadah yang dirampas daripada seorang suspek di Kampung Bagan Dalam, semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Tiga lelaki ditahan bersama sejumlah dadah dalam serbuan Ops Tapis yang dilakukan di tepi jalan Ujung Batu di sini petang semalam.

Serbuan yang dilakukan jam 3 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) merampas sebanyak 23 gram dadah jenis heroin dan 6 gram dadah jenis syabu daripada tiga lelaki yang berusia 18 hingga 24 tahun itu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan hasil daripada risikan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah yang dilakukan tiga lelaki terbabit.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan sendiri dan keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,820.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati salah seorang suspek didapati positif dadah methamphetamine.

"Kesemua suspek akan ditahan reman selama tujuh hari bermula dari 25 April hingga 1 Mei untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan yang dilakukan di Kampung Bagan Dalam di sini pada jam 5 petang semalam, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan bersama satu peket plastik yang mengandungi 57 gram dadah jenis heroin.

Katanya, dadah yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM2,280 dan dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan Bagan Dalam.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan bebas daripada sebarang jenis dadah dan dia kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.

Noorzainy berkata, pihak polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar-pengedar dadah yang berada di daerah ini.

Beliau juga mengharapkan kerjasama dari masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.