Pengerusi PAC baharu cadang prosiding terbuka

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

SHAH ALAM - Prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) wajar dilakukan secara terbuka bagi memastikannya dijalankan secara telus, berakauntabiliti dan berkredibiliti.

Pengerusi PAC yang baharu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia seiring dengan agenda reformasi institusi yang menjadi fokus utama kerajaan pada masa kini.

“Kami akan memohon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat selaku Pengerusi Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk meminda Peraturan Mesyuarat 85, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan mesyuarat prosiding PAC dilakukan secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mas Ermieyati turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantiknya sebagai Pengerusi dan Wong Shu Qi sebagai Naib Pengerusi PAC.

Jelasnya, ketelusan dan akauntabiliti adalah penting untuk membina kepercayaan orang ramai sekali gus memastikan kerajaan pada masa kini memenuhi keperluan rakyatnya.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan ahli-ahli PAC yang bakal dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab dan mandat yang diberikan.

“Sehubungan itu, kami meminta supaya Jawatankuasa Pemilih yang dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat melantik segera ahli-ahli PAC seramai 12 orang terdiri lapan daripada kerajaan dan empat daripada pembangkang agar tugas untuk memeriksa tatacara kewangan awam serta memastikan dana awam dibelanjakan secara berhemah dan efisien dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Tambah beliau, mereka berdua untuk bertemu dengan semua Ex-Officio PAC iaitu Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dengan kadar segera bagi membincangkan mengenai hala tuju dan hal-hal berkaitan PAC.

“Saya dan YB Wong juga bersetuju supaya mengadakan lawatan kerja ke Limbungan Kapal Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) di Lumut, Perak bagi mengetahui perkembangan terkini kapal peronda Littoral Combatant Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia yang sepatutnya dilaporkan tempoh setiap tiga bulan kepada PAC sebagai tugas pertama PAC Parlimen ke 15,” katanya.