Keluarga remaja mati ditembak polis dapat pampasan RM114 juta

Oliver melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian Jordan Edwards (gambar kecil) pada 2017. - Foto Agensi
Oliver melepaskan tembakan yang menyebabkan kematian Jordan Edwards (gambar kecil) pada 2017. - Foto Agensi
A
A
A

AUSTIN - Keluarga kepada seorang remaja kulit hitam yang mati ditembak anggota Jabatan Polis Balch Springs di pinggir bandar Dallas pada April 2017 dianugerahkan AS$26 juta (RM114 juta).

Pihak juri pada Isnin membuat keputusan terhadap kes Jordan Edwards selepas mendapati tembakan yang membunuh remaja berusia 15 tahun itu sebagai tidak wajar.

Kematian mangsa sebelum ini mencetuskan protes dan gelombang kemarahan di negeri Texas, Amerika Syarikat (AS).

Pendengaran saman pemula terhadap Roy Oliver, anggota yang melepaskan tembakan ke arah mangsa berlangsung pada minggu lalu.

Selepas mendengar keterangan saksi, pihak juri mendapati Oliver menggunakan kekerasan melampau dan tidak layak mendapat imuniti yang biasanya digunakan untuk melindungi pegawai daripada tindakan undang-undang sivil.

Pada 2018, barisan juri sama menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Oliver selepas disabit kesalahan membunuh remaja tersebut.

Polis sebelum ini mendakwa kereta dipandu abang mangsa mengundur, mengancam keselamatan anggota polis menyebabkan Oliver melepaskan tembakan.

Namun, pembohongan itu terbongkar selepas rakaman video orang ramai yang tersebar di media sosial menunjukkan kereta tersebut bergerak ke hadapan. - Agensi