Sanusi sedia bayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersedia membayar ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar selepas diputuskan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Isnin.

Beliau berkata, atas rasa tanggungjawab tuntutan yang dibuat pihak berkenaan akan dilunaskan selepas mahkamah mendapatinya bersalah.

Menurutnya, biar berapa pun nilai tuntutan, beliau akan berusaha melunaskan ganti rugi yang ditetapkan.

“Saya didapati bersalah oleh mahkamah dan diperintahkan membayar ganti rugi RM50,000 oleh Mahkamah Tinggi, kemudian dinaikkan kepada RM120,000 oleh Mahkamah Rayuan kerana RM50,000 didapati terlalu rendah oleh plaintif.

“Mereka membuat 'counter appeal' untuk tuntut lebih tinggi. Apabila sudah didapati bersalah, menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha bayar berapa pun harganya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook miliknya pada Selasa.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz mendakwa, Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi tujuh minit 57 saat di akaun Facebook pada 27 Julai 2019, memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk tertera nama plaintif.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi tegaskan, kerajaan negeri tidak akan mengambil mudah isu perjudian selepas menguatkuasakan penutupan sepenuhnya operasi premis judi di negeri ini.

"Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidak sekali," katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat memaklumkan, sebagai ahli dan pimpinan Pas, beliau serius membanteras kegiatan perjudian di Kedah sejurus mengambil alih kerajaan negeri pada 17 Mei 2020.

“Ini merupakan satu langkah besar dibuat mulai 2021 hingga 2022 untuk memberhentikan pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh negeri, apabila lesen sedia ada tamat beransur-ansur daripada 2021 hingga Disember 2022,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan matlamat Pas menghentikan kegiatan yang merosakkan masyarakat itu.

“Jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen (premis haram) wujud di mana-mana tempat di negeri ini, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari dengan peruntukan undang-undang.

“Inilah yang dimaksudkan dengan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi,” jelasnya.

Muhammad Sanusi turut memaklumkan, Majlis Berbuka Puasa Anak Kedah di Perantauan yang dibatalkan sebelum ini, akan diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor pada 9 April.

Sebelum ini, majlis tersebut dijadualkan diadakan di Dewan A MAEPS, Serdang namun dibatalkan selepas Muhammad Sanusi mendakwa pengurusan dewan menarik balik kebenaran menggunakan dewan tersebut.