Warga Bangladesh kumpul dana anjur iftar di masjid

Warga Bangladesh membuat persiapan untuk berbuka
Warga Bangladesh membuat persiapan untuk berbuka
A
A
A

NILAI - Bagi meraikan penduduk warga asing beragama Islam di Flat Taman Semarak di sini, Masjid Al-Azim Taman Semarak memberi peluang kepada komuniti itu mengadakan majlis berbuka puasa khas buat mereka pada setiap Ahad.

Menariknya, mereka mengumpul dana sendiri untuk menyediakan juadah berbuka puasa yang dimasak secara bergotong-royong untuk dijamu kira-kira 400 hingga 500 jemaah termasuk warga tempatan.

Pengerusinya, Md Fakarudin Ab Rahman berkata, tahun ini merupakan tahun kedua masjid berkenaan memberi kebenaran kepada komuniti warga asing untuk mengadakan majlis iftar perdana mereka.

"Tapi tahun ini jumlah yang hadir lagi ramai sehingga mencecah 500 orang yang bukan saja tinggal di Flat Taman Semarak, tapi juga di kawasan berhampiran.

"Saya boleh katakan masjid ini sudah jadi tempat perkumpulan warga asing beragama Islam yang kebanyakan dari Bangladesh untuk beribadah sepanjang bulan Ramadan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Malah katanya, mereka juga merupakan antara jemaah paling ramai mengimarahkan masjid selain tidak lokek untuk bersedekah.

Menurutnya, kira-kira 40 peratus warga asing tinggal di flat berkenaan yang kebanyakannya warga Bangladesh beragama Islam.

Hafizur Rahman menunjukkan makanan dalam dulang yang dhidangkan kepada jemaah
Hafizur Rahman menunjukkan makanan dalam dulang yang dhidangkan kepada jemaah

"Memang mereka asing di negara kita, tapi kita melayani mereka sama seperti rakyat negara ini ketika mereka datang ke masjid kerana Islam tidak membezakan antara negara.

"Kita juga terbuka kepada sesiapa saja yang mahu mengimarahkan masjid termasuklah kepada warga asing," katanya.

Ujar Md Fakarudin, kemungkinan ada yang skeptikal terhadap warga asing yang disifatkan kurang mementingkan kebersihan.

"Tapi kita sudah didik mereka amalkan budaya hidup orang kita yang mementingkan kebersihan dan nampaknya mereka boleh ikut, tiada lagi bau kurang menyenangkan.

"Lagipun masjid ini tempat ibadah dan dah jadi pusat komuniti yang sepatutnya memberi ruang kepada sesiapa sahaja walaupun warga asing,"katanya.

Sementara itu warga Bangladesh, Hafizur Rahman Hashanul, 34, berkata, peluang diberi oleh pihak masjid untuk komunitinya mengadakan majlis berbuka puasa disifatkan sesuatu yang istimewa.

"Saya sudah tinggal di Malaysia selama 15 tahun dan sudah anggap ini seperti negara sendiri kerana di sinilah tempat saya cari rezeki.

"Bila pihak masjid beri peluang untuk guna ruang masjid adakan majlis berbuka puasa, saya gembira sangat kerana inilah masanya untuk komuniti saya berkumpul dan buat gotong-royong siapkan juadah," katanya.

Warga asing makan dalam dulang di Masjid Al-Azim Taman Semarak
Warga asing makan dalam dulang di Masjid Al-Azim Taman Semarak

Tambahnya, untuk program berbuka puasa berkenaan dia bersama rakan-rakan mengumpul wang sebanyak RM3,000 untuk membeli 15 kilogram (kg) ayam, 60 kg daging dan 45 kg beras.

Katanya, seawal jam 2 petang mereka sudah mula memasak juadah nasi beriyani dan hanya siap pada jam 5.30 petang.

Selain itu Abu Salleh Kousar, 28, pula berkata, jika hari biasa dia akan berbuka di rumah bersama rakan-rakan tetapi akan mengambil peluang berbuka puasa di masjid setiap hari Ahad.

"Seronok dapat buka beramai-ramai seperti ada di kampung sendiri," katanya.