Cabaran pemodenan pendidikan negara

Pembelajaran secara konvensional memerlukan lonjakan evolusi sejajar perubahan teknologi hari ini agar tidak ketinggalan sehingga merugikan generasi masa depan. - Foto hiasan/Bernama
Pembelajaran secara konvensional memerlukan lonjakan evolusi sejajar perubahan teknologi hari ini agar tidak ketinggalan sehingga merugikan generasi masa depan. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

SEJAK sekian lama, pendidikan melibatkan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan menerima pelbagai maklumat sebelum digunakan apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Begitu pun, pendekatan tersebut boleh dianggap agak lapuk dan ketinggalan zaman apatah lagi landskap pendidikan dunia semakin pantas mengejar arus pemodenan.

Dekati anak-anak kecil hari ini yang terdedah dengan animasi-animasi pendidikan.

Bukan sahaja lontaran bahasa Inggeris 'berhabuk' mengalahkan golongan dewasa tetapi pengetahuan am mereka agak ke hadapan.

Justeru, pendekatan pembelajaran secara konvensional memerlukan lonjakan evolusi sejajar perubahan teknologi hari ini agar tidak ketinggalan sehingga merugikan generasi masa depan.

Kecerdasan Buatan (AI) yang digambarkan sebagai teknologi paling transformatif pada abad ke-21 sedang membentuk semula setiap industri dan bidang aktiviti manusia termasuk industri pendidikan.

Sebagai contoh, di dalam bilik darjah, AI berupaya membentuk pembantu maya yang boleh membantu golongan pendidik dan pelajar-pelajar mengurus masa serta menyiapkan tugasan dengan cekap.

Menariknya, teknologi AI dapat menyediakan sistem pembelajaran diselaraskan dengan keperluan dan kemampuan individu termasuk cara penyampaian, isi kandungan, bahan pembelajaran serta pentaksiran.

Bahkan, menurut Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), AI mempunyai potensi untuk membantu menangani beberapa cabaran paling sukar dalam pendidikan hari ini.

Ia termasuk menangani ketidaksamaan berkaitan akses kepada ilmu pengetahuan, penyelidikan dan kepelbagaian ekspresi budaya secara global.

Bagaimanapun, teknologi terbabit turut mewujudkan cabaran tersendiri kerana ia perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang adil dan menyumbang kepada ketidaksamaan terbabit.

Selain teknologi AI, pembelajaran jarak jauh, dalam talian dan hibrid merupakan trend terbaharu bidang pendidikan.

Revolusi pembelajaran dalam talian sedang berlaku tanpa kita menyedari malah kursus terbuka dalam talian (MOOC) meraih populariti dalam kalangan warga alam maya untuk melanjutkan pengajian.

Kemunculan platform teknologi pendidikan dalam talian (ed-tech) seperti Udacity, Coursera, Udemy dan EdX tidak terkecuali membuka peluang kepada warga kerja melanjutkan pengajian mengikut minat serta kemahiran mereka.

Pembelajaran jarak jauh, dalam talian dan hibrid menjadi semakin popular apabila dunia berdepan pandemik Covid-19 kerana ia merupakan kaedah terbaik warga pendidik meneruskan pembelajaran di dalam kelas apabila berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pendekatan tersebut membolehkan para pendidik mendekati pelajar-pelajar mahupun mahasiswa-mahasiswa walau di mana sahaja mereka berada untuk mencurahkan ilmu melalui platform digital tetapi dengan syarat mempunyai capaian Internet berkualiti.

Dalam pada itu, teknologi realiti maya (VR) dan Augmented Reality ataupun realiti terimbuh (AR) merupakan dua bentuk realiti lanjutan (XR) yang menjadi semakin penting dalam sistem pendidikan.

Melalui VR, pengguna dapat meneroka persekitaran simulasi maya sekali gus memberikan pengalaman yang menarik dalam menuntut ilmu melalui kaedah baharu.

Teknologi AR pula agak berbeza berbanding VR kerana ia merupakan penyepaduan maklumat digital dengan persekitaran pengguna dalam masa nyata.

Berbekalkan peranti seperti tablet ataupun telefon pintar, buku-buku konvensional bergambar akan kelihatan lebih menarik apabila dipadankan teknologi tiga dimensi (3D) melalui teknologi berkenaan.

Ia dapat memberi perspektif baharu memupuk minat membaca buku dalam kalangan murid-murid.

Selain itu, penekanan berterusan akan diberikan terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memastikan kemenjadian murid.

Biarpun, sistem pendidikan negara sudah mengorak langkah dalam pembaharuan ke arah arus pemodenan dan pendigitalan, masih terdapat ruang lompong yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan agar tidak keciciran dengan kepesatan industri pendidikan dunia.

Warga pendidik dan ibu bapa tidak terkecuali perlu mempersiapkan diri dengan pengetahuan teknologi baharu kerana pola pemikiran anak-anak hari ini semakin ke hadapan.

*Nadzarul Amir Zainal Azam ialah wartawan Sinar Harian