Misi perdagangan ke Turkiye jana RM1.1 bilion

Kunjungan Hormat dan perjumpaan B2B bersama ahli-ahli MUSIAD. Gambar kecil: Rizal
Kunjungan Hormat dan perjumpaan B2B bersama ahli-ahli MUSIAD. Gambar kecil: Rizal
A
A
A

[DIKEMAS KINI] MISI perdagangan ke Turkiye melibatkan 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.

SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam kenyataan pada Isnin berkata, misi ke Istanbul dan Sakarya yang diadakan pada 26 Februari sehingga 6 Mac lepas telah diketuai oleh organisasi berkenaan yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI).

"Sepanjang misi sembilan hari itu, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan yang melibatkan 72 syarikat Turki dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak dan gas serta sistem solar.

"Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye," katanya.

Menurut SME Corp, minat mendalam ditunjukkan oleh syarikat Turkiye semasa misi perdagangan tersebut menjadi pemangkin utama dalam menyokong pengantarabangsaan PKS kedua-dua negara.

Katanya, delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan serta peluang rangkaian.

"Pihak terlibat dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen’s Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA," ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, kerjasama strategik antara SME Corp, MIICCI dan persatuan atau dewan perniagaan dari Turkiye berkenaan melambangkan kepentingan sinergi ekosistem perdagangan dalam meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia serta mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia – Turkiye terutama dalam sektor ekonomi.

Tambah SME Corp, misi tersebut juga menyaksikan beberapa komitmen usaha sama (JV) dipersetujui melibatkan PS Polypack Sdn Bhd dengan Pimtas Plastik, Agym Nutrition Sdn Bhd dengan Yeni Elif dan Avecena Glove Sdn Bhd dengan Gebze Guzeller serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petro Teguh (M) Sdn Bhd dan Asas Corporation dari Turkiye.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, misi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha SME Corp untuk meningkatkan keupayaan praeksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global.

Menurut Rizal, pihaknya juga menawarkan beberapa inisiatif lain untuk menyokong pengantarabangsaan PKS melalui Program Pengukuhan Eksport PKS yang telah dibuka untuk permohonan mulai 15 Mac 2023.

"Program ini menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran melalui penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan untuk pelbagai aktiviti berkaitan eksport.

"Bagi meningkatkan penjenamaan di peringkat global, SME Corp juga melaksanakan program National Mark of Malaysian Brand (NMMB), satu program pensijilan melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan PKS Malaysia yang setanding dengan standard antarabangsa," ulasnya.

Malaysia dan Turkiye menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (MTFTA), yang dimeterai pada 1 Ogos 2015.

Sehingga Disember 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki adalah 34 peratus, menunjukkan masih banyak ruang untuk sektor perniagaan memanfaatkan MTFTA.

Pada tahun 2022, Malaysia adalah rakan dagang terbesar Turkiye di ASEAN manakala Turkiye rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah eksport Malaysia ke Turki berjumlah RM17.39 bilion pada 2022.