Ringgit ditutup rendah walau harga minyak mentah kukuh

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun harga minyak mentah kukuh.
Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun harga minyak mentah kukuh.
A
A
A

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun harga minyak mentah kukuh.

Pada masa ini, minyak mentah Brent naik 4.92 peratus kepada AS$83.82 setong, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan merosot kepada 4.4175/4195 berbanding dolar AS daripada 4.4130/4175 pada Jumaat lepas.

Dilaporkan bahawa Arab Saudi dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum serta sekutunya (OPEC+) mengumumkan pengurangan seterusnya dalam kuota pengeluaran mereka sebanyak lebih 1.2 juta tong sehari.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, USD/MYR berada dalam julat kecil walaupun terdapat berita mengenai pengurangan pengeluaran yang mengejut oleh OPEC+ pada hujung minggu.

"Bagaimanapun, pasangan USD/MYR berada pada 4.42 pada hari ini. Peserta pasaran dilihat masih mengambil kira mengenai keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.

"Sejumlah data yang diumumkan pada minggu ini akan memberi petunjuk terutamanya Institut Pengurusan Bekalan (ISM) AS untuk indeks sektor pembuatan dan perkhidmatan serta senarai gaji bukan ladang AS pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit diniagakan rendah pada Isnin sejajar dengan mata wang Asia lain berikutan pasaran memberi reaksi negatif terhadap langkah pengurangan pengeluaran oleh OPEC dan hasil AS yang meningkat berikutan kebimbangan mengenai harga pengguna dan kesan inflasi daripada kos bahan api yang tinggi.

"Bagaimanapun, Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga minyak yang tinggi, justeru, ringgit akan terlindung berikutan Malaysia adalah pengeluar minyak utama di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.4552/4576 daripada 5.4580/4636 pada Jumaat lepas dan naik berbanding euro kepada 4.7930/7952 daripada 4.8036/8084, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3127/3145 daripada 3.3083/3122 sebelum ini.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3182/3199 daripada 3.3185/3224 pada Jumaat lepas, meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.07/8.07 daripada 8.12/8.13 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8419/8537 daripada 12.9031/9220 sebelum ini.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 295.00/295.3 daripada 294.20/294.70 pada Jumaat lepas. - Bernama