Pencemaran: Pemilik tanah, operator berdepan 15 pertuduhan

Tapak pelupusan sampah telah menyebabkan penduduk Taman Puncak Jalil dihantui pencemaran bau busuk.
Tapak pelupusan sampah telah menyebabkan penduduk Taman Puncak Jalil dihantui pencemaran bau busuk.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Pemilik tanah dan operator yang didakwa menyebabkan pencemaran daripada aktiviti tambakan sampah haram di Bukit Serdang 5 berdepan 15 pertuduhan di mahkamah.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, MBSJ dengan kerjasama kerajaan Selangor telah memfaikan saman tersebut ke atas enam individu terlibat di bawah pelanggaran tiga akta.

Menurutnya, akta itu membabitkan Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Seksyen 18 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 (Akta 172) dan Seksyen 70A(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

"Pertuduhan pertama ke atas operator di bawah kesalahan Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) telah disebut di hadapan Majistret Mahkamah Majistret (Munisipal) Subang Jaya pada 10 Mac lalu di mana operator tersebut telah membuat pengakuan tidak bersalah.

"Sebutan semula bagi kes ini telah ditetapkan pada 30 Mei depan, manakala kes-kes lain telah difailkan di Mahkamah Majistret (Munisipal) Subang Jaya pada 23 Mac 2023," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, MBSJ juga sedang dalam proses memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mendapatkan perintah injunksi ke atas lapan pemilik lot tanah dan operator bagi menghalang pencemaran dan kacau ganggu daripada terus berlaku.

"Permohonan injunksi secara ex-parte juga akan difailkan secara serentak bagi memperoleh perintah interim injunksi terhadap pihak terbabit supaya pencemaran udara, air serta tanah yang berlaku di kawasan Bukit Serdang 5 dapat dihentikan serta merta," katanya.

Beliau berkata, MBSJ tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan kacau ganggu khususnya pembuangan sampah yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

"MBSJ mengingatkan kepada semua pemilik tanah untuk mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Sekiranya ingin menjalankan sebarang pemajuan, pembangunan atau kerja-kerja tanah perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa.

"Pemilik tanah juga tidak akan terlepas daripada tindakan mahkamah dan akan sama-sama bertanggungjawab terhadap apa-apa aktiviti haram dan pembuangan sampah yang dilakukan di atas tanah mereka," katanya.

Disember lalu, media melaporkan masalah penduduk Taman Puncak Jalil dihantui isu udara busuk susulan aktiviti pelupusan sampah haram di lokasi tersebut.

Perkara itu turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengarahkan kerja pemulihan atau rawatan tanah berkeluasan lebih sembilan hektar tanah dilakukan segera, membabitkan kos antara RM1 juta ke RM3 juta.