Isteri maut motosikal ditunggang suami terlibat kemalangan

Kelihatan suami mangsa memangku mayat isterinya selepas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kelihatan suami mangsa memangku mayat isterinya selepas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
A
A
A

PERAI - Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang suaminya bergesel dengan dua motosikal lain dalam kejadian di Kilometer 2.3, Jambatan Pulau Pinang di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.55 pagi itu, Junaidah Abdul Rani, 45, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa dan suaminya, Abd Samat Azizan, 55, dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Rambai, Kulim menuju ke kawasan pulau.

Namun ketika berada di atas jambatan, mereka yang menaiki motosikal jenis SYM VTS 200 bergesel dengan motosikal dinaiki seorang lelaki berusia 28 tahun dan wanita berusia 24 tahun dan tercampak di atas jalan raya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya dan dua penunggang motosikal lain hanya mengalami cedera ringan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, tular di laman sosial gambar kemalangan berkenaan yang menyayat hati apabila kelihatan suami mangsa memangku isterinya dan mengajar mengucap sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir.

Artikel Berkaitan: