Bazar Raya Amal Ehsan bantu usahawan asnaf, B40

The Hope Factory sedia tapak berniaga percuma

Najwan meninjau gerai menjual biskut raya Bazar Raya Amal Ehsan di Pasar Muhibbah Setia Alam pada Ahad.
Najwan meninjau gerai menjual biskut raya Bazar Raya Amal Ehsan di Pasar Muhibbah Setia Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM – The Hope Factory Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menganjurkan Bazar Raya Amal Ehsan 2023 bagi membantu usahawan kecil menambah sumber pendapatan,

Presiden The Hope Factory Malaysia, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah berkata, seramai 20 usahawan terdiri daripada usahawan asnaf yang bernaung di bawah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Selangor terlibat dalam program ini.

Menurutnya, mereka yang terpilih diberikan tapak perniagaan secara percuma di Pasar Muhibbah Setia Alam sepanjang Ramadan ini.

“Ini merupakan salah satu daripada usaha kami untuk membantu peniaga asnaf dan B40 dengan tidak mengenakan apa-apa bayaran sewaan tapak sepanjang Ramadan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Bazar Raya Amal Ehsan di Pasar Muhibbah Setia Alam pada Ahad.

Najwan menyampaikan sumbangan kepada usahawan terlibat. Tengku Munazirah (kanan)
Najwan menyampaikan sumbangan kepada usahawan terlibat. Tengku Munazirah (kanan)

Turut hadir ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Hilimi, Pengurus Kanan Pemasaran PKPS, Mohd Fazir Abdul Latif; Penghulu Mukim Bukit Raja, Hassan Idris dan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Tengku Munazirah berkata, kebanyakan usahawan adalah daripada Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) yang merupakan anak syarikat di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Usahawan lain pula daripada Pertubuhan Wanita Bumiputera Kuala Lumpur & Selangor dan Citra Synergy Resources dan Pertubuhan Ketidakupayaan Perkembangan Neuro Malaysia.

“Antara produk yang diniagakan termasuklah biskut raya; kelapa pandan shake, Selangor Fruit Valley; nasi kerabu, burger,roti john, nasi ayam dan aneka kerepek,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fazir berkata, menerusi Jelajah Ehsan Rakyat@Setia Alam orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian jenama Ehsan di Pasar Muhibbah Setia Alam sepanjang Ramadan ini.

“Harga barangan yang ditawarkan jauh lebih murah daripada harga pasaran sebagai contoh minyak masak sebotol (lima kilogram) RM25 sebotol; beras (lima kilogram) RM10; ayam seekor RM10 dan telur ayam (gred B) RM10,” katanya.

Tambahnya lagi, jika sambutan pengunjung mengalakkan, program Jelajah Ehsan Rakyat@Setia Alam akan dilanjutkan sehingga Julai ini.