Kadar yuran PIBG diputus dalam mesyuarat

Ibu bapa sepatutnya memberi komitmen untuk menghadiri mesyuarat PIBG agar soal yuran dan sebagainya boleh dibincangkan secara bersama. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Rafie)
Ibu bapa sepatutnya memberi komitmen untuk menghadiri mesyuarat PIBG agar soal yuran dan sebagainya boleh dibincangkan secara bersama. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohamad Rafie)
A
A
A

SEREMBAN - Ibu bapa tidak sepatutnya mempertikaikan kadar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana ia telah dipersetujui dalam mesyuarat persatuan itu di sekolah masing-masing.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, bagaimanapun yang menjadi permasalahan apabila hanya 10 peratus ibu bapa yang hadir pada mesyuarat PIBG di kebanyakan sekolah.

"Keputusan kadar yuran itu dibuat di peringkat mesyuarat PIBG yang dihadiri oleh ibu bapa dan guru, kita kerajaan negeri pun tidak boleh campur tangan.

"Cuma malangnya ketika mesyuarat berlangsung tak ramai ibu bapa yang datang. Sepatutnya masing-masing perlu beri komitmen supaya soal yuran PIBG dan sebagainya boleh dibincangkan secara bersama," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan sesetengah ibu bapa berhubung yuran PIBG sekolah yang didakwa membebankan mereka.

Menurutnya, tidak sesuai untuk kerajaan menetapkan kadar yuran PIBG di setiap sekolah kerana ia bergantung kepada kemampuan setiap ibu bapa.

Bagaimanapun katanya, ia perlulah berpatutan dan tidak membebankan.

"Mungkin kadar yuran itu sesuai di sekolah kawasan bandar kerana kebanyakan ibu bapa yang mungkin mempunyai pendapatan lebih tinggi tetapi tidak di sekolah luar bandar.

"Sebab itu pentingnya untuk ibu bapa datang mesyuarat PIBG dan ia bukan hanya untuk menentukan jumlah yuran PIBG, tetapi, untuk melihat bagaimana membangunkan sahsiah diri anak-anak secara bersama di antara ibu bapa, penjaga dengan pihak sekolah,"katanya.