Bapa rayu derma lawat anak di penjara Nepal

Jamaluddin menunjukkan keratan akhbar yang pernah melaporkan harapannya berkenaan Marina.
Jamaluddin menunjukkan keratan akhbar yang pernah melaporkan harapannya berkenaan Marina.
A
A
A

SEREMBAN - Kasihnya seorang bapa membuatkan seorang lelaki warga emas sanggup bersusah payah hanya untuk mendapatkan dana bagi melawat anak perempuannya yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Nepal atas kesalahan mengedar dadah lapan tahun lalu.

Malah Jamaluddin Malek, 72 juga tidak pernah berhenti berharap supaya ada mana-mana pihak yang dapat membantu membawa anaknya, Marina, 44, pulang ke Malaysia.

Marina ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Nepal ketika dalam perjalanan ke Itali melalui Kathmandu, Nepal selepas didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram yang disembunyikan di dalam komputer riba.

Menurut Jamaluddin, sebagai bapa, dia sememangnya terkilan atas apa yang terjadi, namun tidak sekali pun Marina dibuang dalam hidupnya.

"Walau macam mana pun, dia tetap anak saya. Hal yang berlaku sudah pun berlaku dan dia telah pun insaf atas kesalahan dilakukan.

"Sebab itulah saya akan ikhtiar cari duit termasuklah minta derma dari kawan-kawan untuk pergi melawat dia di sana," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, pada 15 Februari lalu dia dan anak lelaki berpeluang melawat Marina dengan kos keseluruhan ditanggung RM2,000.

Ujarnya, anaknya kelihatan kurus dan memerlukan wang kerana segala kos makan dan minum serta perubatan di dalam penjara perlu ditanggung sendiri.

"Makanan di sana semuanya tidak halal. Jadi ada ketikanya saya akan pos makanan kering kepada Marina seperti biskut dan mi segera.

"Kalau ada duit lebih, saya akan hantar kepada Marina kerana jika tidak, kehidupan dia di dalam penjara lagi susah," katanya.

Ketika berpeluang berjumpa Marina Februari lalu, dia juga membawa rendang daging dan pucuk ubi yang dirindui anak sulungnya itu.

Jamaluddin
Jamaluddin

Selain itu katanya, jika Marina tidak dapat dibawa pulang, setidak-tidaknya kerajaan dapat berbincang dengan kerajaan Nepal supaya mengurangkan baki hukuman penjaranya yang tinggal 12 tahun.

Tambahnya, dengan usianya sekarang, dia tidak pasti sama ada masih berpeluang bersama Marina atau tidak.

"Saya tak tahu umur saya setakat mana. Tak tahu sama ada sempat tunggu Marina balik atau tidak.

"Ini pun kalau saya ada duit lebih, saya memang nak selalu pergi ke Nepal melawat Marina, tapi kos nak ke sana tu bukannya sikit. Jadi saya mohon sangat tolonglah anak saya," katanya.