Jangan 'anak tirikan' Kedah - Exco

Wan Romani (dua dari kanan) agih sebanyak 1,500 bungkus bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Sejahtera di pasar raya Econsave cawangan Pokok Sena pada petang Sabtu.
Wan Romani (dua dari kanan) agih sebanyak 1,500 bungkus bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Sejahtera di pasar raya Econsave cawangan Pokok Sena pada petang Sabtu.
A
A
A

POKOK SENA - Kerajaan negeri Kedah berharap kerajaan persekutuan tidak 'menganaktirikan' hak mereka dalam sebarang program atau mesyuarat penting yang diadakan di peringkat negeri mahupun pusat.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin berkata, pemimpin kerajaan persekutuan tidak seharusnya menafikan hak Kedah hanya disebabkan negeri itu negeri pembangkang.

Menurutnya, sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor termasuk Exco kerajaan negeri juga tidak dijemput hadir ke program yang dihadiri menteri dari beberapa kementerian di Kedah sekaligus menimbulkan persepsi tidak baik terhadap pemimpin kerajaan negeri ini.

"Betul, kerajaan negeri kena akur dengan kerajaan persekutuan sebab mereka yang membuat jemputan untuk memanggil apabila hendak adakan mesyuarat di peringkat pusat. Tetapi, kenalah panggil Menteri Besar atau Exco kerajaan negeri Kedah juga.

"Contoh, Menteri Besar Kedah tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat susulan bagi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA23), sedangkan program itu akan dilaksanakan di Kedah dan menteri besar merupakan pemimpin tertinggi negeri," katanya pada sidang akhbar pada petang Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas mengagihkan sebanyak 1,500 bungkus bubur lambuk pada Program Bubur Lambuk Sejahtera di pasar raya Econsave cawangan Pokok Sena, dekat sini.

Jelasnya, kerajaan persekutuan perlu mengeluarkan surat jemputan rasmi sebagai bukti kerja profesional bagi menepis dakwaan tiada arahan melarang Muhammad Sanusi hadir sebarang acara rasmi kerajaan Persekutuan termasuk LIMA23.

"Kena ada surat jemputan rasmi (kepada MB Kedah untuk hadir LIMA23)," ujarnya lagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis bahawa tiada larangan terhadap Menteri Besar Kedah daripada menghadiri mana-mana program rasmi kerajaan persekutuan.