Tiket feri masih banyak, tiada kenaikan harga

Suasana Terminal Puteri Harbour masih belum sesak untuk orang ramai mendapatkan tiket feri untuk pulang berhari raya di Indonesia.
Suasana Terminal Puteri Harbour masih belum sesak untuk orang ramai mendapatkan tiket feri untuk pulang berhari raya di Indonesia.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Orang ramai terutamanya yang sering menggunakan perkhidmatan feri di Terminal Puteri Harbour untuk perjalanan ke Batam atau Tanjung Balai Karimun menyifatkan tidak berlaku kenaikan terhadap harga tiket di terminal berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian ke terminal feri tersebut pada Sabtu, mendapati keadaan tidak terlalu sesak dan orang ramai masih boleh mendapatkan tiket di kaunter-kaunter yang tersedia.

Bagi Jufriyah Maaludin, 56, keadaan itu diharap berterusan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan tiket untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Malah katanya, keadaan sedemikian akan membuatkan lebih ramai orang dapat pulang dan merayakan lebaran bersama keluarga.

"Saya datang ke Puteri Harbour untuk beli tiket ke Tanjung Balai Karimun, kampung halaman saya.

"Insya-ALLAH, kali ini saya, suami serta dua anak kami akan beraya di Tanjung Balai Karimun.

"Lagi pun, ke semua anak-anak saya mahu menyambut Hari Raya bersama keluarga masing-masing," katanya pada Sabtu.

Pendapat Jufriyah itu turut dipersetujui oleh Fauzi Diman, 50, yang menyifatkan harga tiket feri di situ tetap sama seperti dahulu.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung telah membantunya untuk menziarahi bapa saudaranya yang menetap di Seremban.

"Saya selalu datang ke sini (Malaysia) sebab nak ziarah pakcik yang tinggal di Seremban.

"Sekarang ni saya nak balik dan mungkin selepas raya nanti baru saya datang lagi ke sini.

"Lagi pun kalau saya datang lagi ke Malaysia dalam seminggu dua ni, takut tiket habis dan saya tak boleh pulang ke kampung (Tanjung Balai Karimun) untuk menyambut Hari Raya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Tobindo (M). Sdn. Bhd. Muhammad Aiman Jazmy berkata, masih ada banyak kekosongan untuk tiket feri ke Batam dan juga Tanjung Balai Karimun buat masa ini.

Katanya, sekitar seminggu sebelum Hari Raya, senario berkenaan mungkin berubah apabila tiada lagi kekosongan tiket kepada orang ramai.

"Kita tidak ada laman web untuk tempahan tiket, oleh orang ramai boleh gunakan cara sama ada datang (walk-in) atau WhatsApp untuk mendapatkan tiket.

"Pada Hari Raya nanti, kita juga ada dua trip ke Batam dan dua trip ke Tanjung Balai Karimun," katanya.