Tiada halangan ahli politik masuk universiti - Mohamed Khaled

Mohamed Khaled (tengah) pada sidang akhbar mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor yang pertama bagi penggal 2023-2026 di Bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
Mohamed Khaled (tengah) pada sidang akhbar mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor yang pertama bagi penggal 2023-2026 di Bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik daripada menganjurkan program di universiti awam.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun menegaskan perkara tersebut tertakluk kepada pengurusan universiti.

"Kementerian Pendidikan Tinggi memang tidak ada halangan untuk mana-mana pihak memasuki universiti.

"Tetapi sebagaimana sedia maklum, untuk memasuki kawasan universiti ini perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan universiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dihalang menghadiri sesi dialog #JelajahMansuhAUKU di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sebelum itu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi UMNO Johor hadir mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor yang pertama bagi penggal 2023-2026 di Bangunan UMNO Johor di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Naib Presiden UMNO itu meminta Syed Saddiq dan pihak pengurusan UiTM bertemu agar program yang diatur itu dapat dilakukan selepas ini.

"Mungkin berlaku salah faham dari segi komunikasi. Dalam hal ini saya bagi pihak kementerian berharap agar kedua-dua pihak dapat berjumpa dan mengatur semula program berkenaan agar dapat dibuat sekali lagi," katanya.

Sebelum ini, dialog antara Syed Saddiq bersama pelajar UiTM Shah Alam yang dijadualkan berlangsung malam Khamis gagal selepas beliau dihalang memasuki UiTM.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan alasan UiTM tidak meluluskan sesi dialog tersebut demi mengekalkan 'keharmonian' tidak masuk akal.

Pada Jumaat, UiTM dipetik sebagai berkata, Mahasiswa Demokratik Malaysia yang menganjurkan sesi dialog #JelajahMansuhAUKU di universiti tersebut tidak menggunakan saluran rasmi memohon mengadakan program di Kampus Shah Alam.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Janor dipetik sebagai berkata, sepatutnya aktiviti pihak luar perlu mendapat kelulusan daripada universiti.