'Saya masuk UiTM bukan hendak buat huru-hara' - Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - ‘Saya masuk UiTM bukan nak buat huru-hara,” kata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau walau bagaimanapun faham dan hormat keputusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak membenarkan pelajarnya terlibat dengan program yang bakal dihadirinya pada Khamis.

“Pihak UiTM katakan yang mereka ingin menjaga keharmonian dan ingin mengutamakan aktiviti kerohanian.

“Tetapi, hakikatnya saya dijemput untuk berdialog bersama mahasiswa tentang isu yang dekat dengan hati mereka.

“Penganjur program telah pun buat permohonan secara teratur. Tetapi tak dibenarkan,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Program Jelajah Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma yang akan diadakan Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam pada 30 Mac 2023 jam 10 malam didakwa tidak mendapat kelulusan universiti.

Berdasarkan sepucuk surat yang tular daripada Dekan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Nor Hafizah Mohamed Harith, semua pelajar diminta agar tidak terlibat dengan program berkenaan.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, ada yang kata dah jadi sebahagian daripada kerajaan tak patut buat konfrontasi sebegini.

“Pelik bin ajaib kalau berdialog pun dikira konfrontasi, saya tak tahu lah apa lagi caranya.

“Sewaktu saya berada di blok pembangkang, saya boleh sahaja masuk ke Universiti Malaya (UM), tiada masalah. Tetapi hari ini sudah jadi kerajaan dihalang pula,” ujarnya.

Jelasnya, setelah berbincang semalam, dan diberikan jalan tengah, pihak UiTM setuju untuk berikan komitmen yang dialog ini boleh diadakan selepas bulan ini dan akan dihadiri oleh panelis lain.

“Saya sokong dan saya setuju. Tetapi saya nak tekankan, isu mahasiswa sentiasa berjalan.

“We need to fight for our students they need our support, suara mahasiswa, suara keramat,” tegasnya.