"Arwah banyak berubah sebelum ditemukan mati'

Mohamad Khairul Aiman (gambar kecil) ditemukan mati di sebatang anak sungai di Kampung Kandis, Bachok pada Jumaat.
Mohamad Khairul Aiman (gambar kecil) ditemukan mati di sebatang anak sungai di Kampung Kandis, Bachok pada Jumaat.
A
A
A

BACHOK - "Sikap arwah banyak berubah, sebelum ini jarang bercakap tetapi semalam (Khamis) dia sangat ramah dengan keluarga. Malah sebelum keluar, dia sempat cuci dan jemur pakaian sendiri kerana sebelum ini ibu yang buatkan."

Demikian perkongsian Siti Nor Ainzati Razai,19, mengenai abangnya, Mohamad Khairul Aiman Razai, 21, yang ditemukan mati di sebatang anak sungai di Kampung Kandis, di sini pada Jumaat.

Mayat anak ketiga daripada sembilan beradik itu dipercayai berada dalam keadaan terapung serta mengalami kecederaan pada bahagian telinga dan hidung.

Siti Nor Ainzati berkata, mereka sekeluarga hanya mengetahui tentang kejadian terbabit kira-kira jam 9 pagi.

"Semasa perjalanan ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari rumah, kami berharap sangat mayat tersebut bukan abang.

"Tetapi bila sampai di lokasi, ternyata ia adalah Khairul," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini.

Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu Mohamad Khairul Aiman yang bekerja sebagai buruh kampung pada jam 3 petang Khamis.

Ujarnya, setiap hari mereka sekeluarga akan berbuka puasa bersama-sama, tetapi pada hari kejadian mangsa tidak pulang ke rumah.

"Saya cuba hubungi abang beberapa kali melalui telefon tetapi tidak dijawab. Sehinggalah jam 12 malam, ayah keluar mencari abang kerana kebiasaannya dia tidak akan tidur di luar tetapi gagal.

"Bagaimanapun, kehilangan abang akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan pada pagi tadi," katanya.

Menurutnya, jenazah abangnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.