Kemelut pertukaran KM Melaka tak jejas PRN - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
A
A
A

SHAH ALAM - Persiapan UMNO untuk menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak terjejas dengan kemelut politik yang melanda Melaka ketika ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berikutan kemelut yang berlaku itu bukan melibatkan masalah politik, sebaliknya atas faktor kesihatan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Saya kira tidak jejaskan apa-apa (persiapan PRN) sebab masalah kesihatan ini di luar jangka dan tentunya ia perlu diambil alih.

“Hari ini pun semua media laporkan dia (Sulaiman) ada masalah kesihatan jadi kita juga akan selidik apa sebenarnya masalah kesihatan yang dialami," katanya seperti dipetik Astro Awani.

Beliau dilaporkan berkata demikian selepas hadir merasmikan aplikasi e-kaunter dan piagam pelanggan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di Putrajaya pada Jumaat.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Sulaiman telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari turut mengesahkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka akan diadakan pada Jumaat.

Sementara itu, Ahmad dalam masa sama turut berpandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merupakan individu yang selayaknya mentadbir negeri berkenaan.

"Beliau (Ab Rauf) dah lama pimpin Melaka dan beliau juga Ketua Bahagian Masjid Tanah jadi selayaknya untuk ambil alih.

"Kerajaan negeri perlu diteruskan dan kita harapkan Malaysia Madani boleh dilaksanakan di Melaka termasuk pentadbiran Kerajaan Perpaduan," ujarnya lagi.

Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 9 Mac 2020 dan dilantik semula pada 21 November 2021.

Beliau menggantikan Adly Zahari yang gagal mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka ketika itu.