Pengeluaran KWSP: Wan Ahmad Fayhsal kemuka usul tergempar

Wan Ahmad Fayhsal.
Wan Ahmad Fayhsal.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad pada Jumaat, mengemukakan usul tergempar meminta Dewan Rakyat membahaskan mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Beliau memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan pengeluaran lanjut KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

"Orang ramai semakin terdesak, jumlah kumpulan rakyat yang tidak dapat menampung belanja kehidupan pada ketika ini semakin meningkat.

"Oleh demikian, saya rasa isu ini perlu disegerakan pada minggu hadapan kerana persidangan hanya berbaki dua hari lagi sebelum tamat sudah sesi Dewan Rakyat kali ini," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Semalam, soalan Wan Ahmad Fayhsal mengenai pengeluaran KWSP bersasar tidak dijawab oleh Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, pelbagai reaksi dan keluhan daripada rakyat dapat dilihat apabila perkara tersebut diumumkan oleh kerajaan.

"Moga Yang di-Pertua menerima usul ini untuk dibahaskan memandangkan ia adalah perkara yang amat mustahak melibatkan kepentingan awam," jelasnya.