Perkhidmatan LRT di enam stesen dihentikan bermula Ahad

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di enam stesen Laluan Ampang/Sri Petaling akan dihentikan bermula Ahad (2 April 2023).

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, stesen terlibat ialah Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

Menurut kenyataan itu, penggantungan operasi itu susulan perkhidmatan di antara Stesen Bandaraya ke Sentul Timur tidak lagi dapat memenuhi kriteria pengoperasian ditetapkan.

"Ia terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

"Kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya telah menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu," ujar kenyataan itu pada Khamis.

Ujar kenyataan itu, bagi menampung keperluan dan melancarkan perjalanan penumpang yang terjejas, Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas ekspres percuma LRT13 dan LRT14 sebagai tambahan bas LRT11 bermula Ahad ini.

Laluan perkhidmatan itu meliputi bas LRT11 (LRT Masjid Jamek-LRT Bandaraya-LRT PWTC-LRT Titiwangsa-LRT Sentul-LRT Sentul Timur), LRT13 (LRT Masjid Jamek-LRT Sentul-LRT Sentul Timur) dan LRT14 (LRT Masjid Jamek-LRT Titiwangsa).

Rapid Rail menjelaskan, sebanyak 40 bas akan beroperasi dengan kekerapan antara 10 hingga 15 minit pada waktu puncak bergantung kepada keadaan trafik semasa.

"Bagi melancarkan perjalanan, semua perkhidmatan bas ini akan menggunakan laluan bas khas yang telah disediakan.

"Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini," katanya.