Sathianathan sokong ketegasan PFAM

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Sathianathan (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Sathianathan (kanan).
A
A
A

BEKAS pengendali Sarawak United, B Sathianathan menyokong tindakan yang mahu diambil Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam mencari penyelesaian secara tuntas berkaitan isu tunggakan gaji pemain.

“Saya puji keberanian PFAM kerana sekiranya kita masih lagi berterusan berkompromi dalam isu ini, ia sebenarnya tidak baik untuk imej industri bola sepak Malaysia pada masa depan.

“Pada saya secara jujur isu tunggakan gaji yang berlarutan ini boleh disifatkan ketidakpekaan pengurusan kelab yang tidak tahu apa perasaan pemain dan jurulatih apabila tidak dapat gaji.

“Seharusnya pengurusan perlu lebih bertanggungjawab menjana kewangan kelab dan bukan pemain atau jurulatih.

“Takkan sebuah kelab tidak mempunyai perancangan kewangan jangka pendek dan panjang? Di mana silapnya?,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) itu kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Terdahulu, Melaka United dan Sarawak United berdepan kemungkinan diheret ke mahkamah susulan masalah tunggakan gaji bekas pemain masing-masing yang belum selesai sehingga hari ini.

Ini kerana PFAM akan terus membawa kes membabitkan tunggakan gaji bekas pemain kedua-dua pasukan itu ke muka pengadilan.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang sebaik mengetahui keputusan perbicaraan Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 6 April ini.

“Kita sudah hantar beberapa surat kepada Melaka United dan Sarawak United, namun tiada ruang mahupun inisiatif daripada kedua-dua kelab untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Ya ini sememangnya satu tindakan keras bagi memastikan tiada lagi isu tunggakan gaji pemain berlaku pada masa depan.

“PFAM terpaksa guna langkah seterusnya iaitu undang-undang. Kami harap akan ada satu keputusan daripada perbicaraan NDRC minggu depan sebelum bawa kes ini ke mahkamah.

“Kita mengambil tindakan mahkamah kerana tiada ruang dan inisiatif daripada pasukan terbabit untuk selesaikan masalah itu,” katanya kepada pemberita ketika Program Buka Puasa PFAM Bersama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) pada Rabu.