Sindiket perjudian warga asing tumpas

Ruslin (kanan) menunjukkan pasport yang dirampas dalam operasi sindiket perjudian didalangi warga asing di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Ruslin (kanan) menunjukkan pasport yang dirampas dalam operasi sindiket perjudian didalangi warga asing di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
A
A
A

PUTRAJAYA - Taktik licik perjudian berselindung di sebalik perniagaan snuker terbongkar apabila 15 warga asing termasuk seorang tempatan ditahan dalam serbuan dua hari pada 28 dan 29 Mac.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, menerusi risikan selama sebulan dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, pihaknya melakukan serbuan pertama pada 28 Mac di sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker sekitar jam 10 malam.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menyediakan bilik rahsia yang diubah suai sebagai pusat perjudian bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

Kata beliau, pelanggan yang ingin memasuki bilik rahsia berkenaan mesti mempunyai kod rahsia yang ditetapkan oleh sindiket.

"Pemeriksaan di lokasi tersebut telah menahan tiga lelaki warganegara Indonesia, seorang lelaki warganegara Bangladesh, dua wanita warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun.

"Kesemuanya tidak memiliki sebarang pas yang sah bekerja sebagai operator mesin perjudian, manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun turut ditahan dipercayai sebagai penyelia dan penjaga kepada premis tersebut," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengumumkan kejayaan JIM menumpaskan sindiket perjudian didalangi warga asing.

Hadir sama Pengarah Perisikan dan Operasi Khas JIM, Basri Othman dan Timbalan Pengarah Perisikan dan Operasi Khas JIM, Mohd Anas Mohamad Dzarib.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, susulan operasi pertama, serbuan kedua dilakukan pada 29 Mac lebih kurang jam 10.30 malam di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, serbuan itu berjaya menahan dalang utama sindiket iaitu seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 40 tahun yang memiliki pas lawatan sosial.

Jelas beliau, suspek yang merupakan suami kepada wanita tempatan dipercayai mempunyai syarikat perkhidmatan dan telah beroperasi hampir dua tahun.

Katanya, selain suspek utama, turut ditahan adalah enam lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara Nepal dan seorang perempuan warganegara Indonesia yang berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Menurutnya, kesemua yang ditahan bekerja sebagai operator mesin judi di premis tersebut.

"Secara keseluruhan, operasi khas yang dilakukan selama dua hari ini telah berjaya menahan 15 orang suspek iaitu 12 lelaki dan tiga perempuan.

"Operasi turut merampas 46 unit komputer pelbagai jenama, 37 pasport dan wang tunai sebanyak RM114,450 yang dipercayai hasil aktiviti perjudian.

"Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, kami percaya sindiket ini mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun," katanya.

Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, seterusnya ditahan di Depot Imigresen.

Tambahnya, seorang lelaki warganegara telah dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan.

"Jabatan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.