Kelantan negeri perpaduan

Norwahidah (tengah) bersama sebahagian peserta Jelajah Wacana Muhibah Budaya di Wat Phothikyan Phuttaktham, Kampung Balai, semalam.
Norwahidah (tengah) bersama sebahagian peserta Jelajah Wacana Muhibah Budaya di Wat Phothikyan Phuttaktham, Kampung Balai, semalam.
A
A
A

BACHOK - Kelantan boleh dianggap sebagai negeri perpaduan contoh di semenanjung Malaysia kerana pelbagai kaum menjalani kehidupan dalam suasana harmoni sejak zaman berzaman.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Kelantan, Norwahidah Zinalibdin berkata, tidak berlaku ketegangan kaum di negeri yang dikenali sebagai Serambi Makkah ini.

Menurutnya, Masjid Beijing diilhamkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Rantau Panjang memberi gambaran rakyat negeri ini menerima kepelbagaian kaum dan budaya.

“Kepelbagaian ini memberi ilham kepada kerajaan untuk mengadakan program Hari Kepelbagaian Budaya di Kelantan,” katanya.

Norwahidah berkata, hasrat itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy selepas menyaksikan persembahan kebudayaan pelbagai kaum di Tumpat, baru-baru ini.

“Lazimnya orang akan merujuk Sabah dan Sarawak sebagai negeri perpaduan, tapi jika di semenanjung, Kelantan sebagai negeri contoh,” katanya.



Kumpulan Citra Budaya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Golok mempersembahkan tarian tradisional Siam.
Kumpulan Citra Budaya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Golok mempersembahkan tarian tradisional Siam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Wacana Muhibah Budaya di Wat Phothikyan Phuttaktham, Kampung Balai, semalam.

Program selama empat hari itu turut diadakan di rumah ibadat lain iaitu Masjid Beijing, Rantau Panjang; Kuil Sri Muthumariamman, Tumpat; Church Of Out Lady Fatima dan Sri Gurdwara Shahib di Kota Bharu.

Norwahidah berkata, program itu memberi peluang kepada masyarakat mengenali budaya di negeri ini menerusi konsep silang budaya.

“Kita mahu menonjolkan budaya di rumah ibadat yang bukan sahaja dijadikan tempat untuk acara keagamaan semata-mata,” katanya.