Tuduhan seleweng jual tanah Yayasan Selangor tidak berasas

Hantaran dakwaan penyelewengan penjualan tanah Yayasan Selangor di Bukit Tinggi di Facebook Che’guBard Original pada Selasa lalu.
Hantaran dakwaan penyelewengan penjualan tanah Yayasan Selangor di Bukit Tinggi di Facebook Che’guBard Original pada Selasa lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan penyelewengan membabitkan penjualan tanah milik Yayasan Selangor di Bukit Tinggi merupakan tuduhan tidak berasas, berbaur fitnah dan mengelirukan.

Yayasan Selangor dalam satu kenyataan menafikan dakwaan dilontarkan menerusi hantaran Facebook Che’guBard Original pada Selasa lalu.

Menurut kenyataan itu, keputusan penjualan tanah telah mengikut prosedur operasi standard yang telah diluluskan Yayasan Selangor dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor.

"Kelulusan adalah berdasarkan pengiraan pulangan di atas pelaburan, kedudukan kewangan Yayasan Selangor serta risiko-risiko berkaitan dengan projek usahasama antara Yayasan Selangor dan tetuan Fairmore Realty Sdn Bhd (FRSB), " menurut kenyataan itu pada Khamis.

Pada Selasa, Facebook Che’guBard Original berkongsi hantaran mendakwa Yayasan Selangor sedang hadapi masalah kewangan sehingga agensi itu terpaksa menjual aset - asetnya malah membuat pinjaman dengan syarikat peminjam berlesen.

Selain ingin mendapatkan kepastian tersebut, hantaran tersebut mempersoalkan adakah benar masalah kewangan yang sangat meruncing telah memaksa Yayasan Selangor mencagarkan tanah untuk dapat tunai segera walaupun tanah tersebut sudah dijual dan perjanjian jual beli sudah ditandatangani.

Menerusi hantaran sama, pemilik Facebook tersebut turut mendakwa jual beli tersebut ditawarkan harga lebih rendah daripada nilai sepatutnya.

Yayasan Selangor menjelaskan, pengambilan sebahagian tanah terlibat oleh kerajaan pusat bagi projek laluan LRT3 telah memberi kesan kepada keluasan tanah menyebabkan pengurangan ke atas harga jualan berdasarkan keluasan tanah terkini.

"Untuk makluman, Yayasan Selangor kini dalam proses mengemukakan tuntutan pampasan berdasarkan harga pasaran dan ganti rugi tambahan untuk tanah yang telah diambil alih.

" Pemegang Amanah Yayasan Selangor juga telah meluluskan pengurusan Yayasan Selangor untuk membuat pembiayaan 'pemfaktoran' daripada pihak institusi kewangan melalui Capbay bagi menampung keperluan operasi tahun 2020 serta mendapat persetujuan daripada tetuan FRSB," katanya.

Katanya, pembiayaan Capbay adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri melalui pembiayaan Selangor Advance yang membantu organisasi mendapat wang pendahuluan untuk kegunaan operasi.

Jelasnya, Yayasan Selangor merupakan sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan tidak mendapat geran daripada kerajaan negeri

"Oleh itu, Yayasan Selangor perlu melakukan aktiviti penjanaan dananya sendiri bagi memberi pulangan terbaik untuk disalurkan kepada program-program pembiayaan pendidikan.

"Menjadi amalan kami di bawah pentadbiran yang baharu untuk memastikan pengurusan syarikat berintegriti dan mengamalkan ‘good governance’," ujar kenyataan itu.

Yayasan Selangor memberitahu, pihaknya telah membuat laporan polis dan menuntut pemilik akaun Che’GuBard Original memohon

maaf secara terbuka serta menurunkan hantaran tersebut kerana dakwaan tersebut telah mencalarkan imej dan reputasi yayasan tersebut.

Pihaknya juga sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan sebenar kepada pihak yang memerlukan maklumat lanjut mengenai dakwaan tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha menyelesaikan isu ini dengan segera.