Kes demam denggi di Ipoh meningkat 300 peratus

Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan lebih 300 peratus dengan 330 kes dilaporkan setakat 25 Mac lepas (Minggu Epid: 12). - Gambar hiasan
Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan lebih 300 peratus dengan 330 kes dilaporkan setakat 25 Mac lepas (Minggu Epid: 12). - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatatkan peningkatan lebih 300 peratus dengan 330 kes dilaporkan setakat 25 Mac lepas (Minggu Epid: 12).

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI, peningkatan itu adalah sebanyak 312 kes berbanding 78 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 323 peratus.

"Setakat 30 Mac sebanyak 14 lokaliti wabak dengan satu lokaliti wabak tidak terkawal iaitu Cherry Apartment (14 kes) yang dijangka tamat 5 April dan satu lokaliti hot spot di Taman Cahaya Bercham (20 kes) yang dijangka tamat 6 April,” menurut kenyatan itu di sini pada Khamis.

Kenyataan itu memaklumkan kes denggi turut dilaporkan di Taman Hillview (4), Taman Utama (3), Asrama Kolej Vokasional Ipoh (2), Taman Ramai (3), Taman Hock Bee (3), Rumah Pangsa Seri Kepayang (3), Taman Alkaf (2), Bandar Baru Putra (2), Taman Kledang Sentosa (2), Kampung Seri Kinta (2), Taman SPPK (2), Halaman Ampang Mewah (2), Taman Cempaka (2) dan Kampung Pengkalan Gate (2), dan kesemua lokaliti ini akan tamat antara 7 hingga 10 April.

Sementara itu, kenyataan berkenaan turut memberitahu pakar kesihatan awam meramalkan peningkatan kes tahun ini berdasarkan perubahan cuaca dan orang ramai disarankan mengambil langkah pencegahan dan kawalan denggi.

Orang ramai turut dinasihatkan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk menjalankan pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk di rumah masing-masing.

"Melalui Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi di kawasan pentadbiran MBI, semua jabatan terbabit perlu mengambil tindakan secara bersepadu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"MBI dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kinta serta Ahli Majlis MBI dan agensi berkaitan sentiasa komited dalam melaksanakan aktiviti bagi membendung peningkatan kes denggi,” menurut kenyataan itu. - Bernama