Sistem biometrik saring pekerja asing dijangka akhir tahun ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem Biometrik Pemeriksaan Saringan Kesihatan Pekerja Asing bagi menangani masalah pemalsuan identiti dijangka berkuat kuasa sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, menurut Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema).

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presidennya, Datuk Mohd Hatar Ismai berkata, sistem pengesahan cap jari biometrik itu adalah satu penambahbaikan dalam program saringan kesihatan pekerja asing bagi membantu lebih 2,000 klinik panel dan pusat X-ray panel mereka mengenal pasti identiti setiap pekerja asing yang menjalani pemeriksaan.

Menurut Mohd Hatar, proses menaik taraf sistem komputer di sesetengah klinik panel Fomema masih berjalan bagi mengadaptasi sistem biometrik.

"Ada beberapa peringkat (perlu diatasi) dan kita telah tengok sistem itu mula lancar, cuma yang kita perlukan adalah data yang lengkap untuk kemaskinikan dengan pihak Imigresen. Jadi kita jangkakan, Insya-Allah akan 'live' menjelang akhir tahun ini," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (saluran Astro 502) di Wisma Bernama, di sini, malam ini.

Ketika sesi program Ruang Bicara yang dikendalikan hos Sherkawi Jirim selama sejam itu, menurut beliau, untuk melakukan pemeriksaan, majikan perlu memastikan pekerja asing membawa bersama pasport asal dan borang pemeriksaan. Klinik dan pusat X-ray akan membuat semakan identiti pekerja asing berdasarkan pasport asal serta maklumat pada borang.

Klinik dan pusat X-ray akan log masuk ke dalam sistem Fomema untuk menyemak sama ada pekerja asing itu perlu membuat pengesahan cap jari biometrik. Jika pengesahan cap jari diperlukan, klinik akan melaksanakannya menggunakan alat imbasan.

Imbasan cap jari yang diterima akan dihantar ke pangkalan data Jabatan Imigresen Malaysia (MYIMMS) secara dalam talian untuk proses pengesahan identiti melalui padanan cap jari dalam pangkalan data.

"Hanya pekerja asing yang disahkan mempunyai padanan cap jari biometrik dalam pangkalan data MYIMMS saja boleh meneruskan pemeriksaan Fomema," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Hatar turut menarik perhatian bahawa kerajaan digesa menimbang dan mengkaji semula kadar pemeriksaan kesihatan pekerja asing di pusat kesihatan yang berdaftar dengan agensi tersebut, setelah kali terakhir dibuat pada 1997.

Katanya, sehingga kini, kadar itu membabitkan RM180 bagi pekerja lelaki, manakala RM190 pekerja wanita termasuk ujian kehamilan.

"Ia selalu menjadi rungutan buat panel kita sebab sekarang ini, kos semuanya tinggi sedangkan harganya kekal. Kadar itu wajar dikaji semula kerana faktor lain perlu dilihat termasuk peningkatan kos pusat imbasan X-ray yang turut memerlukan pekerja berkemahiran menguruskannya.

"Kita pernah hantar surat untuk buat kajian tapi belum dipanggil lagi oleh kerajaan untuk berunding dan kita akan cuba," katanya yang berharap kerajaan mengkaji semula permohonan berkenaan supaya ia memberi impak positif kepada pihak berkaitan. - Bernama