Halang MB Kedah: 'Saya akan dapatkan situasi sebenar'

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar akan mendapatkan situasi sebenar daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa dihalang menyertai sebarang majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu menyifatkan perkara sedemikian tidak wajar berlaku sekiranya betul.

Jelasnya, beliau tidak mengetahui berhubung perkara itu namun akan mendapatkan situasi sebenar daripada Muhammad Sanusi sama ada benar berlaku atau sebaliknya. "Jadi saya kena tanya dia sendiri bagaimanakah bentuk halangan itu, adakah secara lisan atau bertulis ataupun dimaklumkan pada wakil dan sebagainya.

"Saya tidak tahu jadi saya kena siasat dahulu," katanya.

Sementara itu ketika ditanya adakah Terengganu turut menerima halangan seperti itu, Ahmad Samsuri menjelaskan setakat ini beliau tidak menerima apa-apa halangan.

Terdahulu Sanusi, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), mendakwa beliau dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah itu berkata, ia termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) yang berlangsung di Langkawi dari 23 hingga 27 Mei ini.