'Saya tak pasti apa Sanusi maksudkan' - Fahmi

Fahmi (duduk kanan) bersama pelajar SMK Padang Terap selepas merasmikan Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara pada Rabu.
Fahmi (duduk kanan) bersama pelajar SMK Padang Terap selepas merasmikan Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara pada Rabu.
A
A
A

PADANG TERAP - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa beliau tidak jelas mengenai apa yang dimaksudkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa dihalang menyertai sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan.

Apa yang jelas katanya, perkara tersebut tidak berbangkit di kementeriannya kerana semua wakil rakyat pembangkang dijemput dalam majlis di peringkat negeri.

"Bagi saya tidak ada isu. Contohnya saya menjemput dalam semua lawatan kerja rasmi Kementerian Komunikasi dan Digital di negeri Kedah dan kami jemput semua ahli Parlimen, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan semua anggota pentadbiran.

"Malah ada wakil daripada Pejabat Ahli Parlimen Padang Terap dan ADUN. Ini semangat yang sedikit berbeza. Saya tak pasti apa yang beliau (Muhammad Sanusi) maksudkan.

"Bagi saya yang penting Kerajaan Perpaduan ini ingin membuktikan bahawa kita bersedia untuk bekerjasama demi rakyat dan sekarang cukup-cukuplah kita berpolitik, kita berkhidmat untuk rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hab Rangkaian Gentian Optik Point of Presence (PoP) Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap, dekat sini pada Rabu.

Fahmi berkata berkata demikian mengulas dakwaan Muhammad Sanusi menerusi Facebooknya pada Rabu yang dilarang menyertai sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah dalam dakwaannya juga berkata, beliau turut dilarang hadir ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) pada 23 hingga 27 Mei depan.

Difahamkan, perkara tersebut adalah keputusan terbaharu kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.