Belum ada makluman secara rasmi - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli memberitahu belum ada sebarang makluman rasmi mengenai dakwaan Annuar menyertai Pas.
Ahmad Fadhli memberitahu belum ada sebarang makluman rasmi mengenai dakwaan Annuar menyertai Pas.
A
A
A

KOTA BHARU - "Dengar jauh-jauh tu ada (khabar angin)," akui Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari ketika diminta pengesahannya mengenai Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa yang dikatakan menjadi ahli parti itu.

Ahmad Fadhli bagaimanapun memberitahu, setakat ini perkara itu tidak dimaklumkan secara rasmi kepada Pas Pusat atau jawatankuasa hal ehwal pusat.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen kerana isu keahlian ini berada di bawah sekretariat yang diketuai oleh Setiausaha Agung parti," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut memaklumkan tidak tahu mengenai permohonan yang dibuat oleh Annuar.

"Biasanya keahlian baharu akan dimaklumkan setiap bulan kepada kami tetapi mesyuarat Ahad lepas masih belum diberitahu mengenainya," katanya pada Rabu.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli yakin Annuar akan memilih sama ada Pas atau komponen parti Perikatan Nasional untuk meneruskan perjuangan politik beliau.

Annuar pada Februari lalu memberitahu, akan menyertai salah satu daripada tiga parti yang pernah membuat tawaran sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan tidak akan menubuhkan parti baharu kerana bimbang semakin banyak perpecahan dalam kalangan rakyat terutama orang Melayu.

Menurut bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, pilihannya ialah sebuah parti yang menyatupadukan umat Islam, jujur dan tiada penyalahgunaan kuasa.