Tiga bulan 'berehat', Annuar sedia sertai mana-mana parti

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bersedia untuk menyertai parti politik yang sudi menerimanya sebagai ahli biasa.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas tiga bulan 'berehat' daripada insiden pemecatan parti yang disertainya sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh tersebut, beliau banyak memanfaatkan masanya dengan bermuhasabah diri sambil melihat perkembangan arus politik masa kini.

"Sejak tahun 1979 (43 tahun lalu), saya menjadi ahli parti politik tertentu dan berkhidmat kepadanya, sehinggalah saya dibuang daripada parti tersebut Disember lalu.

"Kini sudah tiga bulan saya tidak berparti. Masa tersebut saya gunakan untuk bermuhasabah dan memerhatikan arus dan pola politik negara.

"Tiba masanya untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Annuar, beliau mahu memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangannya, khususnya berjuang dalam menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

"Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka. Kepada ALLAH saya berserah," ujarnya.

Pada 9 Disember 2022, Annuar dipecat daripada UMNO susulan daripada keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

MKT melucutkan keahlian terhadap Annuar termasuk bekas Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim dan bekas Ketua Wanita UMNO Arau, Datin Seri Shamsiah Yassin mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO, selepas mereka melanggar Fasal 20.9 perlembagaan parti serta perkara berkaitan tataetika ahli.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu pada 24 Disember 2022 turut menegaskan, Muafakat Nasional bukan sebuah parti politik dan beliau tidak bercadang untuk menambahkan lagi bilangan parti politik yang sedia ada.