Amanah NS tiada kaitan isu minta RM50,000 daripada penganjur bazar

Surat Amanah Kawasan Rembau mohon bantuan daripada penganjur bazar Ramadan yang tersebar.
Surat Amanah Kawasan Rembau mohon bantuan daripada penganjur bazar Ramadan yang tersebar.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Rembau mengambil sikap 'kunci mulut' berhubung dakwaan parti itu cuba mendapatkan sumbangan RM50,000 daripada penganjur bazar Ramadan Tapak Dataran Senawang.

Ia susulan selepas tersebarnya surat permohonan bantuan parti kawasan itu kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipilih sebagai penganjur.

Surat tersebut turut menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi daripada Amanah, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani telah menyarankan salah satu dana yang boleh diperoleh untuk melaksanakan program parti ialah daripada penganjur bazar Ramadan yang dipilih.

Surat yang didakwa ditandatangani oleh Ketua Amanah Kawasan Rembau, Dr Norwani Ahmat, namun beliau ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Sementara itu Mohamad Taufek pula menegaskan yang beliau tidak terlibat dalam penganjuran bazar tersebut termasuk dalam soal menemuduga dan pemilihan penganjur.

"Pada awalnya Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mahu serahkan urusan pemilihan penganjur bazar itu kepada pusat khidmat saya, tetapi saya menolak kerana tidak mahu timbul isu," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman menegaskan yang Amanah negeri tidak ada kena-mengena dengan permohonan bantuan yang dibuat.

Beliau bagaimanapun berkata akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Amanah Kawasan Rembau berhubung perkara itu.