Lebih 60 premis jual air mineral, minuman diperiksa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 60 premis menjual air mineral dan air minuman di sekitar ibu negara diperiksa bagi membanteras tindakan menaikkan harga barangan berkenaan berikutan gangguan air di Lembah Klang selama empat hari yang bermula hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan, Azeem Nazuri berkata setakat 2 petang, pemeriksaan itu melibatkan pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar mini.

"Pemantauan yang dilakukan sembilan Pegawai Pemantau Harga melaporkan tiada kenaikan harga walaupun rata-rata premis perniagaan mengaku stok air mineral dan air minuman terpaksa ditambah lebih kerap sejak semalam," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan di sebuah pasar raya di Setapak di sini.

Azeem berkata, walaupun air minuman dan air mineral bukan barangan kawalan atau harga barangan terkawal, pihaknya akan membantu dan bekerjasama dengan pasar raya dan peniaga bagi memastikan bekalan sentiasa ada di pasaran serta tidak berlaku kenaikan harga.

"Kami akan terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan di premis berkaitan sepanjang tempoh gangguan bekalan air dan para pengguna diingatkan agar tidak membuat pembelian panik bagi air mineral.

"Untuk itu, peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan ke atas air minuman atau air mineral berikutan isu gangguan bekalan air ini. Mereka juga dikehendaki meletakkan tanda harga sepertimana yang diperuntukkan dalam undang-undang," katanya.

Tambah Azeem, pihaknya memberi amaran keras kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan berlebihan dengan memanipulasi isu bekalan air di sekitar Lembah Klang.

"Sekiranya terdapat peniaga yang mencatut, mereka boleh disabitkan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan penalti kesalahan bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak lebih RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh didenda lebih RM1 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi bukan pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh didenda tidak lebih RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pengguna boleh menyalurkan aduan mereka ke portal e-aduan@kpdnhep.gov.com, pusat panggilan 1800 886 800, e-mel (e-aduan@kpdnhep.gov.my), aplikasi telefon pintar Ez ADU atau di mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara sekiranya berlaku kenaikan harga. - Bernama