Padah guna senjata api, busur buatan sendiri

Polis menahan tiga lelaki dalam serbuan di Kampung Padang Terap, di sini pada 21 Mac lepas kerana disyaki menggunakan senjata api dan busur buatan sendiri untuk memburu hidupan liar. - Gambar hiasan
Polis menahan tiga lelaki dalam serbuan di Kampung Padang Terap, di sini pada 21 Mac lepas kerana disyaki menggunakan senjata api dan busur buatan sendiri untuk memburu hidupan liar. - Gambar hiasan
A
A
A

PADANG TERAP - Polis menahan tiga lelaki dalam serbuan di Kampung Padang Terap, di sini pada 21 Mac lepas kerana disyaki menggunakan senjata api dan busur buatan sendiri untuk memburu hidupan liar.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 32 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dalam serbuan di dua rumah berasingan di kampung itu.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan berdasarkan hasil maklumat dan risikan orang awam.

"Dalam serbuan itu, kita merampas dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar di kawasan tersebut sebagai sumber pendapatan mereka.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohd Roze, setakat ini, dua daripada tiga suspek yang ditahan sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin lepas.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada membeli atau memiliki sebarang senjata api tanpa lesen yang sah.

Menurutnya, orang awam turut diharapkan bersama membantu polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pemilikan atau penjualan senjata api khususnya dan maklumat berkaitan perlakuan jenayah amnya melalui talian MERS 999.