21 individu terlibat sindiket judi dalam talian diberkas

Sepasukan anggota polis menyerbu sebuah kondominium yang disyaki digunakan sebagai 'calling center' aktiviti perjudian dan penipuan dalam talian, pada Ahad.
Sepasukan anggota polis menyerbu sebuah kondominium yang disyaki digunakan sebagai 'calling center' aktiviti perjudian dan penipuan dalam talian, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 21 individu termasuk tiga wanita diberkas kerana disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian dan penipuan dalam talian di sebuah kondominium di Desa Park City, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 3 petang.

"Hasil serbuan, kita mendapati premis dijadikan sebagai pusat panggilan itu turut mempromosikan judi dalam talian yang menyasarkan mangsa warga Hong Kong," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pada Rabu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, salah seorang suspek berusia 35 tahun merupakan penyelia sindiket perjudian tersebut, manakala yang lain adalah pegawai khidmat pelanggan.

"Sindiket ini mula beroperasi Februari lalu dan menjalankan kegiatan mereka dari jam 12 tengah hari hingga jam 12 tengah malam setiap hari.

"Pegawai khidmat pelanggan berperanan mencari pelanggan melalui aplikasi dalam talian bagi menawarkan permainan judi dan pembukaan akaun judi menggunakan laman web yang dibekalkan oleh penyelia," katanya.

Beliau berkata, mangsa diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun judi yang disediakan bagi mendapatkan nilai kredit untuk membolehkan mereka bermain judi di mana-mana platform aplikasi judi dalam talian tersebut.

"Setiap pelanggan dikehendaki memasukkan wang minimum sebanyak 100 Hong Kong Dollar (RM56) sebagai syarat pendaftaran menjadi ahli.

"Sindiket ini telah mendapat keuntungan sekitar 600,000 Hong Kong Dollar (RM 336,314.35) dalam tempoh sebulan beroperasi," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas 21 unit komputer dan 65 telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut.

"Hasil semakan mendapati lapan individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek ditahan empat hari bermula Isnin hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.