RUU Anti Lompat Parti perlu dibentang pada Sidang DUN Pahang

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang akan menyokong sepenuhnya Rang Undang Undang (RUU) yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri termasuk RUU Anti Lompat Parti.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, RUU itu perlu dibentang pada Sidang DUN akan datang walaupun masih ada beberapa negeri yang belum membentangkannya.

Menurutnya, PN telah meneliti kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung RUU Anti Lompat Parti yang belum diputuskan sama ada akan dibentang atau sebaliknya pada Sidang DUN yang dijadualkan Mei ini.

"Terdapat kebimbangan beliau (Wan Rosdy) terhadap sokongan dalam isu ini kerana tanpa sokongan pembangkang, kerajaan negeri tidak akan memperoleh dua pertiga majoriti.

"Kebimbangan itu mungkin kerana tindakan beliau tidak berlaku adil kepada pembangkang.

"Tindakan kerajaan negeri tidak menyalurkan peruntukan kepada wakil pembangkang yang dipilih rakyat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, dalam isu RUU Anti Lompat Parti itu memerlukan rundingan antara Menteri Besar bersama pihak pembangkang untuk diteliti.

"Saya memberi jaminan mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya.

"Sesi taklimat dan perbincangan bersama pembangkang diharap dapat diadakan sebelum RUU Anti Lompat Parti dibentangkan," ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, pihak pembangkang setakat ini menerima notis persidangan dan berharap RUU ini akan menjadi sebahagian dari aturan yang akan dibentang dalam Sidang DUN nanti.