JANS digesa percepat pembinaan LRA Telibong 2

Mustapha ketika dalam sidang media pada Selasa.
Mustapha ketika dalam sidang media pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya mempercepatkan pembinaan loji rawatan air tambahan yang sedang dilakukan di LRA Telibong 2.

Mustapha berkata, gesaan itu bertujuan bagi menyelesaikan masalah rakyat yang berdepan dengan isu ketiadaan bekalan air di kawasan Sapanggar.

Ujar beliau, rakyat perlu memahami punca berlakunya krisis air di kawasan berkenaan berikutan kerana ketidakcukupan sumber air dari loji rawatan air (LRA) Telibong dan LRA Moyog.

"Kedua-dua loji ini terpaksa beroperasi melebihi had yang sepatutnya.

"Jadi apa yang perlu dibuat sekarang ini, saya minta supaya JANS mempercepatkan projek LRA Telibong 2 supaya dapat memenuhi keperluan yang sedia ada.

"Tetapi untuk kita menampung untuk 20 tahun yang akan datang, kita perlukan sebuah empangan yang baru, itu yang kita perlu usahakan," katanya.

Mustapha bersama anak-anak tahfiz yang hadir ketika Majlis Iftar Ramadan Bersama Anak Yatim pada Selasa.
Mustapha bersama anak-anak tahfiz yang hadir ketika Majlis Iftar Ramadan Bersama Anak Yatim pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Iftar Ramadan Bersama Anak Yatim anjuran Persatuan Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Malaysia di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Selasa.

Penduduk di sekitar Sepanggar termasuk ibu negeri dan daerah berhampiran yang bergantung kepada bekalan air dari LRA Telibong masih lagi dihantui dengan isu krisis gangguan bekalan air yang berterusan.

Kebanyakan tempat di kawasan Sepanggar telah terjejas akibat masalah air yang dilihat semakin kritikal.

Selain itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut mencadangkan supaya satu sistem pemantauan catuan air yang berjadual dilakukan bagi memastikan tangki sedia ada tidak berlaku masalah kekurangan air.

"Kedua, pastikan catuan air itu betul-betul berjadual, jangan tunggu kosong tangki itu baru kita salurkan.

"Sebab yang saya lihat, bila ada yang buat aduan kepada saya dan bila saya salurkan (aduan itu) kepada JANS, tidak lama ada pula air di kawasan tersebut.

"Kalau ada satu sistem pemantauan, bila tahap air di tangki ada di tahap tertentu, ia akan beri amaran kepada JANS, supaya mengisi balik tangki itu," ujarnya.