'Anwar PM yang tidak membawa suara semua' - Afif

Afif
Afif
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa merupakan Perdana Menteri yang tidak membawa atau mendengar suara semua dan hanya memihak kepada golongan tertentu.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Dr Afif Bahardin berkata, ini kerana kenyataan dan pendekatan yang diambil beliau adalah lebih memihak kepada penyokongnya sendiri.

Menurutnya, pendekatan yang dilakukan itu juga adalah bertujuan supaya beliau dapat terus kekal menjadi Perdana Menteri.

“Saya faham kedudukan Anwar. Mengenalinya, mungkin beliau ada kecenderungan membuktikan beliau menjadi Perdana Menteri. Kalau saya dalam kedudukan beliau yang sudah lama berjuang dan sekarang jadi Perdana Menteri, ada beban besar.

“Ia adalah tindakan untuk beri seimbang sama ada nak betulkan (masalah) apa yang pernah disebutkan sebelum ini atau memastikan supaya Anwar terus jadi Perdana Menteri. Jadi, ini keseimbangan yang terpaksa dibuat Anwar sebagai Perdana Menteri hari ini.

“Sebab itu saya sebut, beliau (Anwar) tidak dilihat sebagai Perdana Menteri yang mewakili rakyat. Ini kerana kita pun tahu, tiada siapa ada majoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas. Jadi, pada pandangan saya, Anwar ada sedikit bebanan nak dibuktikan,” katanya.

Dari kiri, Ismail, Afif, Yahya dan Hamdan ketika Wacana Sinar siri 390 bertajuk 'Ramadan: Gencatan Politik atau Ambil Kesempatan?
Dari kiri, Ismail, Afif, Yahya dan Hamdan ketika Wacana Sinar siri 390 bertajuk 'Ramadan: Gencatan Politik atau Ambil Kesempatan?

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar siri 390 bertajuk 'Ramadan: Gencatan Politik atau Ambil Kesempatan? yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri dan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tambah Afif, Anwar juga dilihat menghadapi pergelutan untuk berhadapan dengan situasi yang mana tidak mempunyai sokongan majoriti daripada masyarakat Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini.

“Jadi, apa yang berlaku, ada usaha-usaha untuk beliau keluar daripada imej itu. Pada saya, ini satu perkara yang bukan pelik kerana sebagai orang politik, pastinya kita mahu membina sokongan yang lebih luas,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau, keputusan untuk membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh kembali pasportnya adalah tidak sepatutnya berlaku.

“Cuba kita lihat keputusan mahkamah, ada arahan diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tidak mencabar keputusan mahkamah bagi memulangkan pasport kepada Timbalan Perdana Menteri. Ini ke fokus kerajaan pada hari ini?

“Isu rakyat belum selesai, tetapi isu pasport diselesaikan dulu. Adakah penting beliau dapat pasport sekarang dalam keadaan berhadapan dengan tuduhan rasuah sebanyak 47 kes. Katakan dapat pasport hari ini, minggu depan pergi umrah, apa persepsi rakyat?

“Akhirnya kerajaan ini mahu berkhidmat untuk rakyat atau individu yang ada dalam kerajaan?” soalnya.