CelcomDigi Business perkukuh penyelesaian digital

CelcomDigi Business memenuhi keperluan pelanggan perusahaan dan membantu mencapai matlamat perniagaan.
CelcomDigi Business memenuhi keperluan pelanggan perusahaan dan membantu mencapai matlamat perniagaan.
A
A
A

CELCOMDIGI melancarkan CelcomDigi Business, satu inisiatif yang menekankan komitmen syarikat untuk membantu semua perusahaan melonjakkan kecekapan dan produktiviti perniagaan mereka menerusi rangkaian penyelesaian digital dan sambungannya.

CelcomDigi dibangunkan berlandaskan kekuatan, kepakaran dan rekod prestasi dalam menyediakan perkhidmatan untuk lebih 20 juta pelanggan.

CelcomDigi Business mengukuhkan kemampuan syarikat dalam tawaran penyelesaian mudah alih, tetap, internet kebendaan (IoT), Awan dan keselamatan siber kepada pelanggan perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), perusahaan korporat dan segmen sektor awam.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, CelcomDigi Business menawarkan rangkaian, produk dan perkhidmatan, pengalaman pelanggan, inovasi serta pakar industri terbaik daripada kedua-dua organisasi bagi memenuhi pelbagai keperluan perniagaan pada masa kini dan akan datang.

“Kami ingin membantu mereka memanfaatkan peluang dan kelebihan menggunakan teknologi serta penyelesaian digital yang tepat dalam menyelesaikan permasalahan perniagaan di samping meningkatkan kecekapan. Kami berharap dapat memperkasakan mereka untuk bersaing dan berkembang maju dalam ekonomi digital hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Idham berkata, CelcomDigi Business amat berbesar hati berpeluang berkhidmat dan membantu setiap pelanggan perniagaan dengan efektif dengan memanfaatkan pengalaman yang luas, rangkaian yang unggul dan ekosistem rakan kongsi yang hebat, yang membolehkan mereka terus berinovasi.

“Kami komited untuk menjadi rakan kongsi yang paling dipercayai oleh perniagaan dengan kedudukan syarikat di landasan yang tepat untuk memacu 5G, penyelesaian AI dan IoT, serta membangunkan peluang pertumbuhan baharu untuk perusahaan besar, PKS dan syarikat baharu.

“Kami teruja untuk memenuhi keperluan pelanggan perusahaan, membantu mereka mencapai matlamat perniagaan dan seterusnya mencapai kejayaan,” katanya.

Idham berkata, pelanggan perusahaan terutamanya PMKS bakal menikmati tawaran menarik baharu yang akan dilancarkan di bawah jenama CelcomDigi Business.

“Sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia, adalah penting bagi PMKS untuk mendigitalkan perniagaan mereka.

“Kami akan membawakan produk dan penyelesaian digital yang ditambah baik ke pasaran dalam masa terdekat, demi memastikan mereka mempunyai akses terhadap penyelesaian digital serta kepakaran yang berpatutan dan terbaik dalam kelasnya untuk menyokong usaha pendigitalan mereka,” katanya.

CelcomDigi Business menawarkan pelbagai penyelesaian khas menerusi rangkaian terluas dan terpantas di negara ini.

Untuk tawaran mudah alih dan tetap, perusahaan dapat menikmati sambungan dengan nilai terbaik, boleh dipercayai dan berprestasi tinggi, yang memudahkan perniagaan beroperasi di mana-mana sahaja serta mengguna pakai IR4.0.

Perniagaan yang ingin mempercepatkan inisiatif pendigitalan mereka boleh meneroka penyelesaian IoT CelcomDigi Business yang menjadikan mesin sebuah aset yang lebih pintar untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, manakala penyelesaian Awan dan Sekuriti Siber pula mampu mengubah dan menambah baik urus tadbir perniagaan serta melindungi data dan harta intelek.