Cikgu Fadli nasihat tinggalkan teman lelaki panas baran

Golongan wanita dinasihatkan agar tidak memilih lelaki panas baran untuk dijadikan suami. - Gambar hiasan
Golongan wanita dinasihatkan agar tidak memilih lelaki panas baran untuk dijadikan suami. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang wanita yang meninggalkan teman lelakinya selepas didakwa dicekik dan dicubit sehingga berdarah mendapat perhatian seorang guru, Mohd Fadli Mohamed.

Perkara itu menjadi tular apabila dikongsi pelayar laman sosial.

Dikenali sebagai Cikgu Fadli, beliau menerusi laman Facebook menasihatkan golongan wanita agar tidak memilih lelaki panas baran untuk dijadikan suami.

Katanya, jika teman lelaki bersikap sedemikian perlu ditinggalkan dan jangan harap mereka berubah.

"Kalau masa bercinta pernah dipukul, bayangkan apabila sudah kahwin sedangkan alam percintaan adalah saat paling lembut dengan layanan. Jadi, belum ada apa-apa hubungan sah, angkat kaki kalau jumpa lelaki seperti ini.

"Bila cuba bertahan dan berharap dia berubah tetapi tetap meneruskan perkahwinan, memang teruk. Sudah ada anak-anak nanti mahu cerai asyik fikirkan anak, apa kata orang, takut dengan gelaran J, malu dan sebagainya," ujarnya pada Selasa,

Tambah Cikgu Fadli, ibu bapa perlu didik anak-anak supaya menjadi lelaki sejati.

"Sebesar mana masalah dengan pasangan, beritahu mereka jangan sesekali gunakan kekerasan dan sepak terajang.

"Buat kaum lelaki yang panas baran dan pernah naik tangan pada isteri, berubahlah. Mereka bukan 'punching bag', bayangkan orang pukul anak-anak kita macam tu," jelasnya.