Kakitangan IPT rugi RM500,000 diperdaya 'Love Scam'

Seorang kakitangan institusi pengajian tinggi (IPT) kerugian RM500,000 selepas diperdaya jenayah Love Scam.
Seorang kakitangan institusi pengajian tinggi (IPT) kerugian RM500,000 selepas diperdaya jenayah Love Scam.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kakitangan institusi pengajian tinggi (IPT) kerugian RM500,000 selepas diperdaya jenayah Love Scam melalui perkenalan dengan seorang lelaki di sebuah laman sesawang mencari jodoh.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada Ahad lalu.

Beliau berkata, wanita warga tempatan tersebut berkenalan dengan lelaki dipercayai warga asing itu sejak Julai 2020 sebelum diperdaya lelaki berkenaan.

"Sejak berkenalan dengan lelaki itu, suspek sering meminta wang daripada pengadu dengan pelbagai alasan termasuk sebagai tanda kasih sayang di atas perkenalan dan hubungan cinta di laman sesawang mencari jodoh tersebut.

"Sepanjang tiga tahun tempoh perkenalan, pengadu telah terdorong untuk membuat pindahan wang ke akaun diberikan suspek sehingga 22 kali transaksi ke akaun berlainan.

"Jumlah wang yang dipindahkan mencecah RM500,000 sebagaimana diarahkan suspek," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Menurut Abdul Rahim berkata, pengadu mengaku tindakan itu dilakukan disebabkan rasa percaya terhadap hubungan yang dijalinkan sejak sekian lama.

"Pengadu juga menuruti permintaan suspek untuk menghapuskan segala bukti resit pindahan wang ke akaun yang diarahkan.

"Wang yang dipindahkan kepada suspek merupakan hasil simpanan dan juga pinjaman peribadi pengadu, " katanya.

Jelasnya, wanita berkenaan menyedari dirinya diperdaya setelah mendapat tahu dari rakan sekerjanya bahawa lelaki itu bukanlah individu yang berhubung dengannya.

"Pengadu menyedari dirinya tertipu dan telah tampil membuat laporan polis. Kes berkenaan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan taktik penipuan jenayah scammer yang telah memperdaya ramai mangsa,"ujar beliau.