Berhenti jadi netizen, datang ke Town Hall Rakyat

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
A
A
A

ACAPKALI kita menyaksikan serangan demi serangan warga maya atau lebih ringkas dipanggil netizen menyerang laman sosial menteri-menteri dan pemimpin utama parti politik di negara ini dengan kata-kata kesat untuk menyatakan amarah.

Lebih buruk keadaan, apabila terdapat ‘cytro-cytro’, yang fanatik kepada pemimpin tertentu secara konsisten membuat kempen kebencian secara konsisten setiap hari.

Budaya kurang sopan ini semakin lama semakin tidak terbendung dek kerana tiada kawalan khusus bagi mengelak keadaan ini terus berleluasa.

Sebenarnya, tidak perlu pihak berkuasa menyekat luahan perasaan mana-mana netizen menzahirkan pendapat kepada pemimpin-pemimpin negara, kawalan kendiri sahaja sudah memadai.

Melalui program terbaharu Sinar Harian, Town Hall Rakyat, rakyat diberikan peluang eksklusif bertanya soalan terus kepada menteri-menteri yang memegang pelbagai portfolio.

Pada episod pertama, riak bersahaja Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menjawab soalan-soalan daripada rakyat di Dewan Karangkraf menyebabkan ramai berpuas hati dengan jawapan beliau. Tambahan pula cara Fahmi berinteraksi dengan moderator dan rakyat yang hadir pada program itu juga lebih relaks dan tenang.

Minggu lalu menyaksikan betapa panasnya isu-isu pengangkutan awam dibangkitkan penonton di studio kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Biarpun moderator nampak cemas dengan soalan bertubi-tubi daripada penonton, namun Anthony seolah-olah betah dengan keadaan itu.“Tidak mengapa, saya okey dengan keadaan ini. Saya seronok dapat menjawab soalan-soalan begini daripada rakyat.

Soalan yang diutarakan sangat relevan dan spesifik kerana ia melambangkan realiti yang dihadapi rakyat,” ungkap Ahli Parlimen Seremban itu.

Menurut Anthony, Town Hall Rakyat memberikannya peluang mengetahui nadi dan persepsi terhadap perkara-perkara penting yang menjadi keresahan rakyat dan sebagai menteri, beliau bertanggungjawab memberikan respons.

Ada benarnya kenyataan beliau kerana soalan-soalan ini melambangkan sentimen kumpulan sasar yang berbeza dan secara tidak langsung membantu kementerian melaksanakan dasar.

Sinar Harian amat menghargai kesudian menteri-menteri kabinet meluangkan masa untuk hadir dan seruan kepada rakyat, jadikan Town Hall Rakyat sebagai platform terbaik untuk melontar pendapat dan soalan. Jadilah ‘netizen’ membina dan matang.